Berita

Kerajaan PAS Kelantan ditegur jangan tindas Orang Asli mangsa pembalakan

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Kerajaan Negeri Kelantan diseru supaya adil, ikhlas dan tegas membela hak dan kepentingan Orang Asli negeri itu khususnya melibatkan isu pembalakan hutan secara tidak terkawal di daerah Gua Musang.

Ini kerana Orang Asli adalah pribumi sebenar yang perlu diberi hak sepenuhnya, dan bukan ditindas oleh mana-mana pihak.  

Gesaan ini dibuat kepimpinan Pakatan Harapan dalam satu kenyataan hari ini, yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Presiden Amanah Hj Mohamad Sabu.

Kesal dengan penahanan 47 Orang Asli oleh pihak berkuasa semalam, kenyataan itu berkata semua pihak terbabit perlu kembali ke meja rundingan apabila semua tahanan dibebaskan bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap perkara berkenaan.

“Kami ingin bertanya, apakah proses perundingan telah sampai ke penghujung sehinggakan tindakan sedemikian rupa diambil terhadap penduduk Orang Asli?

“Kami difahamkan bahawa perjuangan Orang Asli daripada kaum Temiar di Kelantan membantah aktiviti pembalakan yang mengancam sistem kehidupan mereka sudah bermula sejak beberapa tahun lalu, dan mereka telah menggunakan semua jalan demokrasi yang ada untuk berunding dengan Kerajaan Negeri namun tidak diendahkan,” kata mereka.

Sebelum ini, aktivis beberapa NGO alam sekitar, hak asasi dan parti politik telah turun padang dan membongkar wujudnya pelanggaran terhadap garis panduan pembalakan yang dibenarkan.

Isu pembalakan di Hutan Simpan Balah itu semakin mendapat perhatian setelah berlakunya kekecohan melibatkan samseng pembalak dua bulan lalu yang bertindak liar merobohkan blockade Orang Asli di Simpang Petei.

Semalam seramai 47 Orang Asli yang mempertahankan tanah mereka di blockade Simpang Petei dan beberapa kawasan lain ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan operasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Selain penahanan Orang Asli, operasi itu turut memusnahkan blockade dan lebih 30 pondok berteduh yang didirikan penduduk.

“Tindakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa menangkap Orang Asli yang mempertahan hak mereka telah dan akan terus dikecam oleh rakyat prihatin.

“Kami berkeyakinan penuh bahawa masih ada ruang untuk mencari jalan penyelesaian daripada bertindak sedemikian rupa demi mengelakkan kesan buruk kepada Orang Asli dan Kerajaan Negeri Kelantan sendiri,” kata kenyataan itu lagi.

Hampir semua Orang Asli rakyat tempatan, bukan orang luar

Dalam operasi tersebut hampir semua Orang Asli yang ditahan semalam terdiri daripada penduduk tempatan dan bukannya orang luar sebagaimana dilaporkan organisasi media tertentu.

Senarai mangsa yang ditahan jelas menunjukkan 41 daripada 47 Orang Asli yang ditahan merupakan rakyat Kelantan manakala lima lahir di Perak dan seorang dilahirkan di Selangor.

Fakta ini sekaligus menyanggah laporan yang mendakwa kononnya hampir semua Orang Asli yang ditahan bukan penduduk tempatan dan kononnya berasal dari Pahang dan Perak.

Menyangkal dakwaan liar itu, Penyelaras Badan Gabungan Aktivis Alam Sekitar Kelantan Malaysia (BUMI) Syam Ghaz berkata laporan itu adalah tidak benar.

“Berdasarkan senarai yang ditahan, tidak ada langsung Orang Asli dari Pahang yang ditahan dan hampir semua tahanan adalah rakyat Kelantan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Malah, walaupun ada tahanan yang berasal dari Perak, temubualnya sendiri dengan isteri mangsa yang berasal dari Gua Musang mendapati suaminya itu telah lama menetap di Gua Musang. – Roketkini.com