Berita

‘Orang Asli’, ‘Gua Musang’ dan #Kelantan kini trending di twitter

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Perkataan ‘Orang Asli’, ‘Gua Musang’ dan #Kelantan kini trending menduduki 10 tempat teratas di twitter setakat sekitar jam 10 pagi tadi.

Ia menjadi topik hangat media sosial, dipercayai akibat kemuncak kemelut pembalakan melibatkan kerajaan PAS Kelantan yang ditentang masyarakat Orang Asli Temiar negeri itu yang telah menyaksikan penahanan 47 Orang Asli oleh pihak berkuasa.

Semalam, 47 Orang Asli yang mempertahankan blockade mereka di Simpang Petei telah direman selama dua hari setelah hakim mahkamah majistret Gua Musang membenarkan permohonan reman Timbalan Ketua Polis Gua Musang.

Tindakan itu telah mengundang kecaman rakyat terhadap kerajaan PAS Kelantan dengan luahan mereka membanjiri laman-laman media sosial.

Aktivis hak asasi dan alam sekitar, Mohd Fauzi Mohd Azmi turut dipanggil polis semalam manakala telefon bimbitnya juga dirampas berikutan satu laporan polis yang dibuat ke atas status kemaskini facebook yang dibuatnya. Beliau kini telah dibebaskan.

Selain perhimpunan aman mendesak pembebasan kesemua tahanan Orang Asli di mahkamah dan Ibu Pejabat Polis Gua Musang, protes aman juga telah diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut malam tadi diketuai Anggota Jawatankuasa Pemuda Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj.

Terkini, peguam yang mewakili Orang Asli yang ditahan, Siti Kassim memaklumkan bahawa pihak berkuasa akan menyerbu blockade Pos Pasik.

“Mereka akan serbu Pos Pasik. Antara 20 hingga 30 kenderaan pacuan empat roda termasuk Black Maria sedang menuju ke sana,” katanya menerusi facebook beliau sekitar jam 9.40 pagi tadi. – Roketkini.com