Berita

PAU 2016: Ke mana hilangnya dasar 1Malaysia Najib?

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Demi kelangsungan UMNO yang semakin hilang sokongan, presidennya, Datuk Seri Najib Razak sanggup melupakan aspirasi ikonik 1Malaysia yang pernah dilaungkan dan dibanggakannya sebelum ini.

Ucapan Najib di pentas Persidangan Agung UMNO 2016 yang berunsur perkauman dan dengan berniat jahat menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam serta mengisytiharkan parti itu sebagai musuh jelas menunjukkan sikap sebenar Perdana Menteri berkenaan.

Malah, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok menganggap sokongan kaum Melayu yang kini mula beralih kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat memberi tekanan terhadap UMNO yang terpaksa sekali lagi mengitar semula isu perkauman demi kepentingannya.

“Hakikatnya, Najib sebenarnya amat takut dengan ancaman politik daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PPBM yang diasaskan mereka.

“Adalah jelas bahawa Najib boleh melihat sokongan Melayu yang semakin kurang terhadap UMNO dan dirinya sendiri.

“Malah, nampak jelas bahawa serangan bertali arus Najib terhadap DAP bertujuan untuk memujuk orang Melayu supaya tidak menyokong PPBM yang akan berkemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tohmahan Najib yang menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Mengulas lanjut, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, Najib tidak seharusnya berterusan menyebarkan fitnah terhadap DAP kerana dengan kemajuan teknologi masa kini adalah mudah bagi rakyat untuk menyemak sebarang maklumat dengan setepatnya.

“Dengan saluran informasi yang mudah diakses di media sosial, rakyat boleh mendapatkan maklumat dengan senang malah dapat buat perbandingan mana satu maklumat  yang benar dan yang salah,” katanya. – Roketkini.com