Berita

UMNO boleh tewas tapi Melayu tetap berkuasa

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Panik dan terdesak. Begitulah yang menggambarkan UMNO saat ini berdasarkan ucapan dasar presidennya Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang semberono menuduh institusi Melayu dan Islam akan musnah jika ‘DAP berkuasa’.

Hakikatnya, realiti politik dan fakta membuktikan bahawa kaum Melayu negara ini tidak akan kehilangan kuasa.

“Bagaimana mungkin kaum Melayu yang mendominasi 70 peratus kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia akan tewas kepada kuasa politik Cina yang hanya mempunyai 13 peratus kerusi Parlimen?” soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tohmahan itu membuktikan bahawa Najib dan UMNO sedang berhadapan dengan krisis survival politik mereka.

“Apa jua yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sama ada Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri atau UMNO hilang kuasa Kerajaan Persekutuan, orang Melayu di Malaysia akan terus menguasai politik negara ini,” tegas beliau.

Berdasarkan fakta dan statistik, pada tahun 1970, populasi Malaysia terdiri daripada 44.32 peratus kaum Melayu, kaum Cina (34.34 peratus), kaum India (8.99 peratus), Bumiputera bukan Melayu (11.89 peratus) dan etnik lain (0.67 peratus).

Pada 2010 pula, populasi kaum Melayu meningkat kepada 55.07 peratus, kaum Cina berkurangan kepada 24.34 peratus, India mencatat penurunan kepada 7.35 peratus, Bumiputera bukan Melayu kekal pada 11.94 peratus manakala 1.3 peratus etnik lain.

Malah, pada PRU ke-13 yang lalu, 52.63 peratus pengundi merupakan kaum Melayu, kaum Cina (29.68 peratus), kaum India (7.31 peratus), Bumiputera bukan Melayu (8.96 peratus) dan etnik lain (1.43 peratus).

Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 114 merupakan kerusi majoriti Melayu yang mewakili 70 peratus kerusi, 22 kerusi majoriti Cina (13 peratus) dan 29 bilangan kerusi campuran. Tidak ada satu pun kerusi majoriti India.

PRU-14 bukan antara UMNO dan DAP

Kit Siang turut menangkis dakwaan Najib kononnya PRU ke-14 adalah pertembungan UMNO dan DAP.

Jelasnya, PRU ke-14 bukanlah mengenai pertembungan UMNO dan DAP tetapi ia merupakan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan parti-parti yang bersama Pakatan Harapan seperti DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Ia adalah perlawanan untuk selamatkan Malaysia dari kleptokrasi, mempertahankan prinsip-prinsip Perlembagaan demi Malaysia yang demokratik dan adil.

Beliau turut menegaskan bahawa DAP juga bukanlah anti-Melayu atau anti-Islam seperti yang didakwa kerana sejak penubuhannya 50 tahun lalu DAP bukanlah parti yang berasaskan perkauman, malah terbuka kepada semua kaum negara ini.

“Sejak menyertai pilihan raya tahun 1969, DAP berjaya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili oleh pemimpin Melayu dan sehingga saat ini, DAP memiliki ramai pemimpin Melayu dan wakil-wakil di Parlimen dan DUN,” jelasnya.

DAP, tegas Kit Siang, bukanlah parti kaum Cina.

Beliau berkata sepanjang penglibatan DAP dalam pilihanraya sejak 1969 hingga 2013, parti itu mempunyai ramai anggota Parlimen dari kalangan kaum India berbanding MIC sendiri.

“Ini juga tak menjadikan DAP sebagai ‘parti India’ kerana DAP merupakan parti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya lagi. –Roketkini.com