Berita

Najib sudah rasa BN akan kecundang dalam PRU-14

SHAH ALAM, 4 DIS: Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai hari ini berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mungkin sudah merasakan hayat parti itu sudah tiba ke penghujung dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Saya percaya Datuk Seri Najib telah merasakan kekalahan BN dalam PRU ke-14 akan datang.

“Najib main tipu daya dengan kata DAP tolak kedudukan istimewa Melayu dan agama Islam. Ini fitnah jahat! Walhal, perlembagaan DAP jelas mengatakan kita mahu pulihkan Perlembagaan Malaysia kepada kerangka asal!” tegas Ahli Parlimen Cheras itu.

Kok Wai berkata, serangan bertubi-tubi UMNO terhadap DAP dalam Persidangan Agung UMNO itu juga membuktikan BN semakin takut dan tertekan dengan kekuatan Pakatan Harapan.

“Dia takut Pakatan Harapan akan menang. Dia bukan sahaja takut kita bina lebih banyak kemudahan hospital dan sekolah, tetapi dia juga takut kita bina lebih banyak penjara.

“Rakyat tau siapa ‘MO1’ (‘Malaysia Official 1’). Tapi satu yang memang diketahui oleh Najib, iaitu UMNO- BN sudah jadi MR1. apa itu MR1- Musuh Rakyat nombor 1!”, katanya.

Memberi amaran kepada Najib supaya “jangan main-main”, beliau berkata DAP tidakkan sesekali bimbang atau gentar dengan politik sempit dan segala propaganda jahat UMNO dan BN.

“DAP beri amaran kepada Presiden UMNO jangan main-main. Jangan memangsakan DAP untuk mencapai matlamat politik yang sempit, biadap dan kejam.

“DAP telah dizalimi BN sejak ditubuhkan 50 tahun lalu. DAP tak bimbang kerana kita tau rakyat takkan diperbodohkan lagi oleh BN,” tegasnya.

Kok Wai juga menegaskan bahawa DAP jujur memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak yang telah lama dicabuli BN.

“DAP berjuang atas semangat Malaysia untuk rakyat malaysia. Malaysia juga milik Sabah dan Sarawak. DAP takkan berganjak memperjuang hak saudara-saudari kita di Sabah dan Sarawak.

“Luka mereka adalah luka kita semua!” tegasnya lagi. -Roketkini.com