Berita

“Pandangan saya tentang DAP dulu tidak betul” – Tun M

SHAH ALAM, 4 DIS: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengaku bahawa pandangan beliau dahulu tentang DAP adalah tidak benar.

Kenyataan itu dibuatnya dalam sidang media di Persidangan Tahunan DAP 2016 yang berlangsung di sini.

Beliau yang menganggap kehadiran pertamanya di persidangan itu sebagai satu ‘pengalaman baru’, berkata DAP adalah parti yang mewakili pelbagai kaum, bukan hanya kaum Cina semata-mata.

“Kemalaysiaan DAP jauh lebih kuat dari parti MCA.

“Saya dapat lihat, di antara ahli-ahli DAP yang hadir hari ini, semua kaum ada. DAP bukan parti Cina, tetapi sebuah parti pelbagai kaum.

“Pandangan saya mengenai DAP sebelum ini tidak betul,” katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh kira-kira 3,000 hadirin.

Tun Dr. Mahathir turut memuji pengunaan bahasa kebangsaan dalam lagu parti DAP yang sekaligus mematahkan dakwaan beberapa pihak bahawa kononnya DAP memusuhi kaum Melayu serta bahasanya.

“Walaupun DAP dituduh ‘parti Cina’ tapi lagu parti DAP guna bahasa kebangsaan, lagu MCA tak guna bahasa kebangsaan.

“Malah, saya bangga dengar ucapan yang disampaikan dalam bahasa kebangsaan. Ini tak terdapat dalam MCA,” ujarnya.

Menurut Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sengaja memainkan isu perkauman bagi memenangi hati orang Melayu.

“Dia sebut tentang DAP akan memerintah negara, sedangkan itu takkan terjadi.

“Pilihan raya bukannya tentang UMNO melawan DAP, tetapi Barisan Nasional melawan Pakatan Harapan, termasuk PPBM yang akan turut menyertainya sedikit masa lagi,” jelasnya. – Roketkini.com