Berita

Setelah PAS dan UMNO bergabung, hanya Pakatan dan PPBM jadi harapan rakyat

SHAH ALAM, 4 DIS: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, di saat PAS dilihat ‘sanggup berpeluk’ dengan UMNO, parti pembangkang yang serius mahu menentang kerajaan kleptokrasi UMNO-Barisan Nasional (BN) harus bersatu padu.

Berucap di Persidangan DAP 2016 hari ini, beliau berkata, Pakatan Harapan dengan penyertaan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam blok pembangkang itu perlu dengan segera menyatukan rakyat demi menyelamatkan Malaysia.

“Walaupun PAS sanggup berpeluk dengan UMNO dan tidak mempedulikan perbuatan BN menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi demi kepentingan politik sendiri, kita mesti mempunyai keberanian untuk menyatukan rakyat bagi menyelamatkan Malaysia.

“Dan ini termasuk bekerja bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohammad, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menggalakkan ahli-ahli biasa UMNO dan PAS untuk menjadi sebahagian daripada perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap gabungan baharu itu yang menurutnya mampu untuk membina naratif baru dalam menentang UMNO-BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Bolehkah DAP dan rakan-rakan gabungan memberi harapan kepada rakyat Malaysia bahawa bersama-sama kita boleh mengubah keadaan dengan segera?

“Adakah kita mempunyai naratif yang menarik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama rakan sekutu kita? Dan bolehkah sebuah tawaran baru menjanjikan hari esok yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia? Saya yakin, kita boleh!” ujarnya. – Roketkini.com