Berita

Persidangan Kebangsaan DAP 2016: Apa kata perwakilan

SHAH ALAM, 5 DIS: Persidangan Kebangsaan DAP 2016 menutup tirainya petang semalam dengan pelbagai cadangan dari perwakilan yang mahu supaya parti memberi tumpuan kepada kerjasama Pakatan Harapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Ia juga menjadi platform kepada pemimpin dan para perwakilan menjawab segala tohmahan dan fitnah jahat yang dilemparkan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap parti.

Dalam ucaptamanya, Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai menegaskan bahawa DAP menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara.

“Di dalam Perhimpunan Agung UMNO, Najib dengan cuba bermain tipu daya dengan mengatakan DAP menolak kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan kerana semua itu tidak disebutkan di dalam Perlembagaan DAP.

“Itu ternyata satu fitnah jahat memutarbelitkan fakta sebenar yang mana Perlembagaan DAP jelas menyatakan antara matlamat-matlamat DAP adalah ‘mengesahkan dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada kerangka asal’,” tegas Ahli Parlimen Cheras itu.

Turut menarik perhatian ialah perbahasan dari para perwakilan.

Perwakilan dari Pahang, Datuk Mohd Ariff Sabri, berkata tohmahan jahat Presiden UMNO dalam ucapannya baru-baru ini membuktikan DAP semakin mendapat tempat dihati masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.

“Sebab apa dia takutkan Melayu, sebab DAP berkembang dan dan dapat sokongan Melayu,” katanya yang juga Aali Parlimen Raub.

Hakikatnya kata Ariff, UMNO hanya mendapat 3.2 juta undi Melayu berbanding sekitar tujuh juta pengundi Melayu dalam PRU-13.

Perwakilan Sabah, Chan Foong Hin, menyelar tindakan wakil rakyat DAP yang melompat parti.

“Saya tidak faham ada orang sudi meninggalkan Roket dan sertai parti lain.

“Saya bersyukur menyertai DAP sebagai parti Malaysia dan bukannya ‘parti Malaya’ di mana DAP berjuang untuk kesamarataan semua tanpa mengira kaum mahupun wilayah,” ujarnya yang juga ADUN Sri Tanjung.

Perwakilan Sarawak, Chew Chin Sing, mengambil kesempatan perbahasan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh pemimpin dan ahli-ahli DAP yang telah bekorban tenaga, masa dan wang ringgit membantu pilihanraya negeri sebelum ini.

“Saya lihat kita di Sarawak kena bekerja lebih keras untuk menang,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sarawak.

Perwakilan dari Melaka, Low Chee Leong, pula mencadangkan supaya maklumat parti sampai hingga ke peringkat akar umbi.

Menurutnya, ini amat penting supaya masyarakat di luar bandar khususnya mendapat maklumat yang benar mengenai perjuangan parti.

“Editorial Roket harus diberi kepujian dan usaha mereka harus dinilai dengan tinggi dalam pergerakan perjuangan demokrasi.

“Saya mencadangkan supaya pengedaran akhbar-akhbar The Rocket pelbagai bahasa dilipatgandakan dalam masa terdekat bagi tujuan penyampaian maklumat selain dari penyebaran melalu media sosial,” ujar Low.

Perwakilan Perak, M. Manogaran, pula menarik perhatian perwakilan membangkitkan kesediaan Pakatan Harapan untuk enghadapi PRU-14.

“Soalanya, adakah kita bersedia? Bagi saya, DAP Perak sedia kerana dalam PRU-12 dan 13 kita menang semua 18 kerusi DUN. Masalahnya sekarang, jika kita sudah sedia, adakah rakan-rakan Pakatan harapan bersedia?

“Adakah kita sekarang ini akan bertanding di bawah satu simbol atau berasingan?” soalnya.

Jelas Manogaran, bertanding menggunakan hanya satu simbol lebih memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan.

Perwakilan Kuala Lumpur, Sally Sian Kian Eng, mahu supaya DAP mengukuhkan persepakatan parti-parti yang mahu bersama Pakatan Harapan.

“Sudah sampai masanya kita membuat penegasan dan memberikan komitmen dengan sungguh-sungguh kepada Pakatan Harapan.

“Mana-mana parti yang masih ‘main-main’ dan tidak konsisten seperti PAS, jangan kita tunggu. Kita sendiri telah lihat bagaimana PAS nampaknya lebih mesra dengan UMNO yang terpalit dengan pelbagai skandal rasuah.

“Kita tidak bersatu kerana wang. Kita tidak bersatu kerana fahaman sempit perkauman. Kita tidak bersatu kerana kita bencikan Barisan Nasional. Tetapi, kita bersatu kerana kita punya agenda besar iaitu agenda untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi negara gagal!” katanya.

Perwakilan Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof, berkata pemimpin DAP perlu harus berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia dikhuatiri akan dimanipulasi pihak tertentu.

“Mereka yang sudah menjadi orang-orang penting dalam parti hendaklah lebih berhati-hati, dan berfikir dalam membuat sebarang kenyataan terbuka.

“Kita harus meletakkan satu standard lebih tinggi berbanding menteri-menteri UMNO/BN yang sudah terkenal kelakar. Ada beberapa kerisauan sekiranya kita tidak berhati-hati dalam kenyataan kita,” kata Edry. –Roketkini.com