Berita

Perbicaraan Guan Eng ditetapkan 34 hari pada tahun 2017

GEORGE TOWN, 6 DIS: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menetapkan kes perbicaraan melibatkan dakwaan rasuah ke atas Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan berlangsung selama 34 hari pada tahun hadapan.

Hakim, Hadariah Syed Ismail menetapkan tarikh perbicaraan kes tersebut adalah 27 hingga 31 Mac, 10 hingga 14 April, 24 hingga 28 April, 15 hingga 19 Mei, 29 Mei hingga 2 Jun, 13 hingga 16 Jun, dan 17 hingga 21 Julai.

Peguam pembelaan diketuai oleh Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo manakala pendakwa raya utama adalah Masri Md. Daud.

Gobind meminta kehadiran anak guamnya dikecualikan dan ia dipersetujui oleh hakim.

Guan Eng sebelum ini didakwa membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran, sedangkan ia mendapat persetujuan pemilik asal rumah secara sukarela dan tidak wujud sebarang kepentingan projek di Pulau Pinang.

Pelbagai pihak menyelar pendakwaan ke atas Setiausaha Agung DAP itu dengan menganggap kerajaan melakukan ‘pendakwaan terpilih’ yang bermotifkan politik semata-mata. – Roketkini.com