Berita

UMNO perlu henti perbodohkan rakyat dengan politik perkauman

SHAH ALAM, 6 DIS: Pemimpin UMNO terus diingatkan agar berhenti memperbodohkan rakyat dengan sentimen murahan perkauman semata-mata untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali menegaskan bahawa DAP meraikan kepelbagaian kaum dan agama serta tidak akan memilih pendekatan terdesak seperti parti pemerintah itu.

Menurutnya, DAP menjunjung semangat Demokrasi Sosial serta akan mendekati rakyat dengan dasar-dasar yang baik demi Malaysia yang lebih sejahtera buat semua merentasi kaum, wilayah dan agama.

“Agak ironi, kerana baru sahaja tamat Persidangan Agung UMNO (PAU) 2016 dan kini DAP menjalankan Persidangan Tahunan Parti ke-50.

“Jika dalam PAU 2016 mereka (pemimpin UMNO) memainkan sentimen perkauman yang sangat jahat, kita (DAP) mahu beritahu kepada UMNO dan PAS, serta seluruh rakyat, bahawa DAP tidak akan ambil jalur perkauman.

“Tetapi kita akan ambil pendekatan yang mendekati rakyat dengan polisi-polisi baik untuk Malaysia,” ujarnya dalam pentas perbahasan di Persidangan Tahunan DAP ke-50 pada Ahad lepas. – Roketkini.com