Berita

Kenapa kerajaan tidak bantu Amerika kembalikan harta dicuri dari 1MDB?

KUALA LUMPUR, 8 DIS: DAP sebagai parti yang mengutamakan kepentingan masa depan rakyat dan serius membongkar salah guna kuasa kerajaan telah berkali-kali menyuarakan kebimbangan mengenai isu skandal syarikat sarat hutang milik penuh negara, 1MDB.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat masih mengambil pendekatan berdiam diri terhadap individu yang didakwa menerima wang curi daripada dana syarikat tersebut seperti yang dinyatakan dalam dokumen saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Low Thaek Jho (Jho Low) antara individu yang didakwa menerima sebahagian besar dana yang dicuri itu, dilaporkan media antarabangsa masih bebas dan sedang merancang untuk memfailkan tindakan mahkamah untuk melengah dan menghalang tindakan DOJ berkenaan.

Bimbang dengan perkembangan itu, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lip Lim Eng justeru mempersoalkan mengapa Najib tidak mengarahkan dengan segera Peguam Negara dan Duta Malaysia di Amerika untuk membantu DOJ mendapatkan semula harta yang telah dicuri itu.

“Dengan berdiam diri, kerajaan Najib secara mudahnya memberitahu Amerika bahawa Jho Low bersama-sama Riza Aziz boleh terus menyimpan wang dan harta yang mereka perolehi daripada 1MDB walaupun telah melanggar undang-undang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Anak tiri Najib, Riza Aziz yang merupakan pemilik Red Granite Pictures dan turut dinamakan dalam dokuman DOJ itu didakwa menerima US$64 juta yang dipercayai datangnya daripada dana 1MDB.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menggesa agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat harta yang dimiliki Jho Low serta anggota keluarganya dan Riza bagi membuktikan keseriusan kerajaan untuk menangani isu skandal berkenaan.

“Bila dan bagaimana mereka mengumpul kekayaan berbilion itu? Di negara mana mereka membayar cukai pendapatan kekayaan itu dan adakah mereka telah membayar cukai pendapatan secukupnya ke atas hasil kekayaan tersebut?

“Sangat aneh apabila LHDN terus membisu seribu bahasa selama bertahun-tahun terhadap kekayaan yang demikian besar oleh beberapa individu yang terlibat dengan dana 1MDB yang terpalit skandal,” katanya. – Roketkini.com