Berita

Kerjasama dengan Tun M: DAP hormat pandangan ahli akar umbi

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Sebagai parti yang terbuka terhadap sebarang kritikan yang membina, DAP bersedia untuk mendengar pandangan ahli akar umbi yang tidak sehaluan dengan hala tuju dan keputusan yang diambil kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Oleh itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, sebarang kebimbangan yang disuarakan perwakilan terhadap kerjasama parti itu dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad wajar dihormati.

“Hanya seorang sahaja yang keluar parti, setahu saya hanya beliau sahaja,” ujar Anthony menjawab soalan wartawan mengenai penarikan diri ahli DAP Bahagian Chai Leng Park, Shamsher Singh Thind.

Shamser mengambil langkah drastik itu ekoran tidak bersetuju dengan kerjasama DAP dan Tun Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Semua pun boleh melahirkan rasa kebimbangan. Dan ia adalah hak untuk setiap perwakilan untuk melahirkan pandangan mereka,” tambah Anthony mengulas ucapan perwakilan Subang Jaya, Sangeet Kaur Deo pula.

Sangeet yang merupakan anak kepada mendiang Pengerusi DAP, Karpal Singh melahirkan kebimbangan yang sama merujuk kepada kerjasama bersama Tun Mahathir, semasa sesi perbahasan para perwakilan di Persidangan Tahunan DAP 2016 pada Ahad lepas.

Dalam perbahasan tersebut, Sangeet mengingatkan pemimpin tertinggi parti agar berhati-hati dalam memilih rakan politik.

Persidangan berkenaan menyaksikan kehadiran Tun Mahathir buat kali pertama dalam sejarah 50 tahun parti. Beliau disambut tepukan gemuruh perwakilan yang hadir.

Pengasas PPBM itu turut dirakamkan sebagai berkata: “Pandangan saya mengenai DAP sebelum ini tidak betul.”

Beliau yang menganggap kehadiran pertamanya di persidangan itu sebagai satu ‘pengalaman baru’, berkata DAP adalah parti yang mewakili pelbagai kaum, bukan hanya kaum Cina semata-mata.

“Kemalaysiaan DAP jauh lebih kuat dari parti MCA. Saya dapat lihat, di antara ahli-ahli DAP yang hadir hari ini, semua kaum ada. DAP bukan parti Cina, tetapi sebuah parti pelbagai kaum. – Roketkini.com