Berita

Mesyuarat Pakatan Harapan bersama PPBM akan bincang agenda satu lawan satu

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Pertandingan satu lawan satu antara pakatan parti-parti pembangkang menentang Barisan Nasional akan menjadi agenda utama mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada hari Selasa, 13 Disember depan.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyatakan kerjasama politik berkenaan adalah amat penting bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mesyuarat itu akan dihadiri kesemua parti komponen Pakatan Harapan, iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah), serta pemimpin-pemimpin PPBM.

“Ini merupakan satu proses bagi mewujudkan suasana satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional.

“Jika diikutkan, kita mahu kesemua parti pembangkang bergabung bagi membentuk sebuah gabungan untuk melawan Barisan Nasional. Tetapi setakat ini, keempat-empat parti ini yang menunjukkan komitmen,” katanya di sidang media di ibu pejabat DAP di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan turut melahirkan rasa kesal dengan pembatalan undangan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke istiadat lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Saifuddin menjelaskan, lazimnya semua bekas Perdana Menteri akan dijemput ke majlis berkenaan, justeru tindakan pihak tertentu menarik kembali undangan berkenaan adalah tidak wajar sama sekali.

“Tun Mahathir telah pun diundang tetapi ada surat yang membatalkan undangannya.

“Kita harap pemegang mohor akan mempertimbangkan kembali hal ini, dan menarik balik pembatalan berkenaan.

“Tidak manis bila ada bekas Perdana Menteri yang tidak dijemput,” ujarnya.

Turut hadir di sidang media berkenaan adalah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong serta Pengarah Strategi Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad. – Roketkini.com