Berita

Rakyat Sabah naik keretapi ‘mayat’, gerabak tanpa bumbung dan dinding

SANDAKAN, 9 DIS: Menyedihkan. Itulah yang menggambarkan nasib sebahagian pengguna keretapi di beberapa buah kampung di Tenom, Sabah yang terpaksa menaiki gerabak terbuka untuk pergi ke destinasi masing-masing.

Namun, keadaan dhaif itu bukanlah sesuatu yang asing bagi pengguna keretapi di Sabah khususnya di kawasan pedalaman memandangkan ia telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya.

stephen-wong-tien-fatt

Pengerusi DAP Sabah, merangkap Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt

Kedhaifan dan risiko bahaya ini bagaimanapun terpaksa diharungi penduduk dari empat buah kampung di Tenom iaitu Kampung Pangi, Kampung 78, Kampung Rayu dan Kampung Kolondos daerah tersebut.

Kesal dengan keadaan tersebut, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata kedhaifan sistem pengangkutan awam di Sabah khususnya perkhidmatan keretapi bukanlah perkara baru.

“Saya sedih bila melihat penduduk kampung terpaksa tanggung risiko dan bahaya berhimpit-himpit atas pelantar keretapi tanpa bumbung dan dinding.keretapi2

“Keadaan ini amat memalukan apabila rakyat Malaysia di Sabah masih terpaksa bergantung kepada sistem keretapi yang dibina sejak zaman penjajah lagi,” katanya.

Menurutnya, insiden pengguna menaiki pelantar keretapi kosong tanpa gerabak yang biasanya digunakan untuk kargo itu tidak dapat diterima.

“Mana perginya semua kabin penumpang moden yang sepatutnya sudah ada?” soal Ahli Parlimen Sandakan itu.

Menurutnya, kerajaan BN melayan Sabah secara tidak adil apabila tidak bertindak segera memperbaiki sistem pengangkutan keretapi negeri itu sebaliknya memperuntukkan RM55 bilion bagi keretapi laju pantai timur sebanyak RM55 bilion.

“Saya menggesa kerajaan BN supaya segera menaiktaraf keseluruhan sistem perkhidmatan keretapi di Sabah supaya rakyat di sini dapat menikmati kemudahan itu dengan selesa dan sempurna seperti di Kuala Lumpur,” tegas beliau. – Roketkini.com