Berita

DAP kecam taktik kotor UMNO selamatkan Utusan

KUALA LUMPUR, 14 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching mengecam rancangan UMNO cuba mengelak daripada membayar kos faedah dalam usaha menyelamatkan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) yang akhirnya akan memberi kesan buruk kepada peraturan pasaran dan bursa saham Malaysia.

Beliau berkata, pengumuman Utusan yang difailkan di Bursa Malaysia pada 12 November lalu mendedahkan bagaimana UMNO merancang mengambil ‘Two Call Rights Issue’ boleh batal sehingga lebih 110 juta hak saham dan sekaligus mewajibkan parti itu menjalankan tawaran mandatori pengambilalihan (MO) serta membayar faedahnya.

Menurutnya, UMNO bagaimanapun semalam memohon pengecualian MO daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“UMNO sedang mencari jalan supaya memperoleh pengecualian bagi membolehkan mereka menyokong usaha Utusan mengumpul dana tanpa menanggung kos faedah selanjutnya.

“Bagaimanapun Utusan tidak harus mengorbankan wang pembayar cukai sebagai pemegang saham minoriti.

“Jadi SC tidak harus memberikan mereka pengecualian daripada MO kerana ia akan menjejaskan hak pemegang saham minoriti dan merupakan penghinaan terhadap peraturan pasaran modal dan merendahkan ketelusan serta integriti Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

UMNO kini dilaporkan memegang lebih 55 juta saham Utusan yang mewakili 49.8 peratus daripada saham pengundi.

Berdasarkan panggilan pertama daripada RM0.68 sen seunit, UMNO boleh memegang daripada 53.1 peratus kepada 67.2 peratus saham mengundi dalam syarikat itu apabila selesai ‘Two Call Rights Issue’ yang dicadangkan.

“Peningkatan sebanyak lebih daripada dua peratus saham mengundi dan tidak ada sebab mengapa UMNO harus dikecualikan daripada obligasi pengambilalihan (MO),” tegasnya.

Tambahnya, Utusan kini mempunyai masalah kewangan dengan jumlah pinjaman bernilai kira-kira RM195 juta.

“Masalah ini menyebabkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Menteri Kewangannya, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini cuba menyelamatkan Utusan dengan menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memperbanyakkan iklan dalam akhbar itu,” ujarnya.-Roketkini.com