Kenyataan Akhbar

Isu Wanita bukan sandiwara tapi komitmen

Ucapan Parlimen YB Chong Eng – 09 Mac 2011

Isu Wanita bukan sandiwara tapi komitmen

Baru-baru ini, YB Senator Shahrizat Abdul Jalil di sesi mesyuarat Komisi Status Wanita  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Commission on the Status of Women CSW) berkata bahawa kesaksamaan gender adalah amat penting buat Malaysia dan visi Perdana Menteri ialah pembangunan wanita.

Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan beliau, namun saya ingin mengingatkan beliau bahawa kesaksamaan gender bukan satu sandiwara untuk konvensyen antarabangsa, tetapi merupakan satu komitmen untuk melakukan sesuatu yang konkrit bagi memberdayakan wanita dengan menghapuskan siling kaca dan lantai melekit (glass ceiling and sticky floors).

YB Senator berkata bahawa kesaksamaan gender amat penting, tetapi di Malaysia ini, 15 tahun selepas Kerajaan meratifikasikan CEDAW, partisipasi wanita dalam masyarakat terutamanya di peringkat pembuat keputusan masih rendah, termasuklah di Dewan yang mulia ini, di Kabinet, dalam kerajaan-kerajaan negeri dan juga di sektor awam.

Walaupun kadar literasi wanita di Malaysia hampir 100%, tetapi angka ini tidak diterjemahkan kepada partisipasi wanita dalam pasaran kerja dan ekonomi negara. Dalam Laporan Indeks Jurang Gender Malaysia (Malaysia Gender Gap Index  – MGGI) pada 2009 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, walaupun jurang gender hampir berjaya dirapatkan dalam sektor pendidikan dan kesihatan, namun negara kita masih mempunyai jurang gender yang luas dalam bidang politik dan pengupayaan ekonomi.

Keadaan ini jelas dicerminkan dalam pasaran kerja. Dalam tempoh 20 tahun ini, kadar penyertaan tenaga kerja wanita masih kekal pada tahap yang rendah pada 46%, berbanding kadar penyertaan tenaga kerja lelaki pada 80%.

Walaupun YB Senator cuba untuk mengiklankan Kerajaan Persekutuan sebagai telah menjalankan tugas yang baik dari segi pemberdayaan wanita, tetapi Kerajaan yang sama ini sedang mengadaikan masa depan wanita di Malaysia dengan retorik tanpa sebarang perubahan yang ketara. Walaupun dunia semakin maju ke hadapan, Kerajaan Malaysia masih enggan mengarusperdanakan gender dalam proses membuat dasar dan keputusan, menyebabkan terpinggirnya kaum wanita secara amnya. Keseluruhannya, kedudukan menyeluruh Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global kian merosot, dari kedudukan 92 pada tahun 2007 kepada 101 pada tahun 2010.

Saya menyeru kepada YB Senator Menteri untuk memainkan peranan yang lebih proaktif sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membawa perubahan yang benar-benar kepada wanita dalam sebuah Kerajaan yang didominasikan oleh kaum lelaki. Jika YB Senator tidak mendapat sokongan daripada rakan-rakan beliau dalam Kerajaan, saya yakin, barisan Pembangkang dan kaum wanita di Malaysia akan bangkit menyokong beliau.

Baru-baru ini, saya telah menerima keluhan daripada para ibu-ibu muda yang berkerjaya. Ibu-ibu muda bekerjaya ini ramainya mempunyai tanggungjawab lain selain pekerjaan mereka, termasuklah menjaga anak-anak yang masih kecil, dan menjaga orang tua yang sering sakit.

Mereka memohon supaya Kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti dan pusat-pusat ini perlu dipantau supaya memenuhi syarat-syarat bagi menjamin kesejahteraan kanak-kanak yang ditempatkan di situ. Ibu-ibu muda bekerjaya ini juga menyeru supaya wanita bekerja diberikan cuti tambahan serta elaun penjagaan anak.

Anak-anak merupakan aset negara, Kerajaan sepatutnya tidak boleh membiarkan tanggungjawab ini pada ibu dan bapa semata-mata tetapi ia mempunyai peranan dalam memastikan anak-anak membesar dengan baik dan boleh menyumbang kepada masyarakat kelak.

Pelbagai lagi rintihan para ibu terutamanya terhadap satu suasana yang tidak memihak kepada wanita untuk mencapai potensi masing-masing dengan sepenuhnya, terutamanya dalam kerjaya masing-masing. Biarlah kata-kata ibu-ibu muda bekerjaya ini mewakili suara hati semua wanita di Malaysia kepada Kerajaan:

kami, kaum ibu muda (young mothers) berharap kerajaan dapat melihat dan memahami situasi kami, dan janganlah takut untuk melabur di dalam women issue ini kerana ia bukan satu kerugian tetapi satu pelaburan yang amat menguntungkan. Percayalah, segala isu yang memberi kesan kepada wanita juga akan  memberi kesan kepada anak-anak, suami ,masyarakat dan Negara.

Peranan ibu sangatlah besar dan penting, dan kami amat bangga menjadi ibu, tetapi kami juga perlu bantuan supaya kami juga dapat sama-sama membina Negara, dengan cara menjaga dan mendidik anak-anak kami, kelak menjadi human capital yang akan menyumbang kepada Negara. Bantulah kami, kerana kami juga ingin membantu membina Negara yang kami cintainya ini.

Pengarusperdanaan Gender di Negeri Pulau Pinang

Pengarusperdanaan gender bukanlah sesuatu yang mustahil dalam konteks negara kita. Saya menyeru YB Senator Menteri untuk mengambil contoh daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dalam masa singkat 3 tahun memerintah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang walaupun dalam keadaan kesempitan sumber telah berjaya mengetengahkan dasar-dasar yang memberdayakan wanita.

Di Pulau Pinang, wanita diberi peluang memimpin dan mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), dan buat pertama kalinya, menyandang jawatan Yang Dipertua Kerajaan Tempatan serta Pegawai Daerah. Kini kedua-dua Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang diketuai oleh YDP wanita.

Kerajaan Negeri juga merupakan kerajaan negeri pertama yang menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah. Kini dua buah pusat jagaan kanak-kanak ditubuhkan, satu di pulau dan satu lagi di Seberang Perai dan ini membolehkan wanita terutamanya para ibu terus berkerjaya bagi menambahkan pendapatan keluarga serta mencapai cita-cita kerjaya masing-masing.

Kerajaan Negeri juga menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan wanita (PPW) yang menyediakan perkhidmatan seperti kaunseling, khidmat nasihat perundangan, latihan dan program kesedaran terutamanya kepada wanita yang menghadapi krisis.

Terbaru, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menubuhkan Jawatankuasa Gender dan OKU yang antara lain bertujuan untuk menerapkan pengarusperdanaan gender ke dalam dasar serta operasi Kerajaan Tempatan. Jawatankuasa sebegini adalah yang pertama ditubuhkan di Malaysia.

Saya berharap, Kerajaan tempatan yang lain juga akan mengambil contoh inisiatif ini dan turut berusaha mengambilkira perspektif gender dalam pembangunan setempat. Tetapi yang lebih penting lagi, Kerajaan Persekutuan patut membentuk jawatankuasa sedemikian sebagai langkah pertama memenuhi agenda CEDAW dan Dasar Wanita Negara.

Jawatankuasa ini akan meninjau dasar-dasar Kerajaan supaya tidak mendiskriminasikan mana-mana gender serta memastikan sumber diperuntukkan bagi pemberdayaan wanita selaku gender yang masih lemah dan paling banyak dipinggirkan dalam arus pembangungan negara.

Sebaliknya, YB Senator pula mengambil langkah ke belakang apabila beliau menolak penubuhan Jawatankuasa Kesaksamaan Gender dalam jawapan kepada pertanyaan saya di Parlimen ini. Adakah beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang isu ini ataupun beliau tidak mempunyai minat dan komitmen untuk memberdayakan wanita?

Jika begitu, saya cadangkan sama ada beliau memajukan diri beliau dari segi pengetahuan tentang gender dan kesaksamaan ataupun berundur daripada jawatan Menteri yang menjaga hal ehwal dan pembangungan wanita jika tidak berminat untuk memajukan kaum wanita di Malaysia.

Kes Jenayah Seksual Kanak-kanak dan Pelajar Sekolah

Kebelakangan ini, negara kita dikejutkan dengan beberapa kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak termasuk di rumah-rumah kebajikan kanak-kanak.

Baru-baru ini, satu kes melibatkan dakwaan cabul kehormatan seorang guru disiplin ke atas 11 orang pelajar perempuan. Kes ini kini sedang dibicarakan dalam mahkamah dan tidak wajar dibincangkan secara lanjut di sini.

Saya telah banyak kali membangkitkan betapa pentingnya Kerajaan mengatasi isu 2000 rumah kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan Kementerian. Kerajaan haruslah membantu rumah-rumah ini untuk berdaftar dan mematuhi piawaian supaya keselamatan, kesihatan serta hak kanak-kanak yang menghuni terpelihara.

Kerajaan juga haruslah segera melaksanakan pembaharuan ke atas undang-undang jenayah seksual, termasuk menggubal Akta Pendaftaran Pesalah Laku Jenayah Seksual serta Akta Gangguan Seksual.

Kerajaan juga harus menghadapi kenyataan semasa dan memperkenalkan matapelajaran pendidikan seks di sekolah. Dalam zaman teknologi maklumat, kita naif jika fikirkan bahawa anak-anak kita terlindung daripada maklumat tentang seks. Sepatutnya Kerajaan yang bertanggungjawab mestilah memberikan didikan yang tepat tentang jantina, tentang sistem pembiakan dan tentang fisiologi manusia kepada anak-anak muda supaya tidak mudah dipengaruhi maklumat-maklumat salah dan tidak bertanggungjawab tentang seks.

Prosedur Menukar Agama

Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum dan agama. Setelah 50 tahun memerintah, Kerajaan Barisan Nasional gagal mengembangkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat kerana dasar parti komponen yang berbentuk perkauman pecah dan perintah perintah. Walau bagaimanapun, keharmonian antara rakyat pelbagai kaum dan agama adalah berteraskan budaya saling menghormati.

Kini, isu agama semakin rancak dipermainkan oleh orang politik. Agama diperalatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menakut-nakutkan pengundi. Agama juga diperalatkan untuk meraih undi. Itulah hakikat politik tidak bertanggungjawab pada hari ini.

Satu isu berkaitan yang menyakitkan hati rakyat ialah tentang pertukaran agama. Baru-baru ini di Bukit Mertajam, seorang budak perempuan berumur 17 tahun telah didakwa oleh penjaganya bahawa beliau telah menganuti agama Islam tanpa sebarang persetujuan daripada penjaga. Keadaan ini bertambah riuhnya apabila ahli politik MCA memperagakan isu tersebut.

Satu lagi contoh ialah kes Puan M. Indira Gandhi di mana bekas suaminya telah menukar agama anak-anaknya kepada Islam tanpa mendapatkan persetujuan beliau.  Saya ingin menyeru supaya pihak berkuasa supaya segera melaksanakan pembaharuan kepada undang-undang pertukaran agama, terutamanya melibatkan keluarga dan kanak-kanak di bawah umur. Prosedur pertukaran agama mestilah jelas dan telus supaya tidak berlaku pertikaian. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan ketegangan apabila kes agama ini timbul dalam media tetapi juga akan memelihara imej agama Islam selaku agama rasmi.

Chong Eng
Ahli Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia

Leave a Reply