Kenyataan Akhbar

Sokongan Bumiputera untuk DAP dalam Pilihanraya Negeri Sarawak 2011.

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng, mengenai sokongan Bumiputra untuk DAP dalam Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 pada 26.04.2011

Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 merupakan satu pilihanraya yang bersejarah, kerana untuk kali pertama dalam 20 tahun, pihak pembangkang telah berjaya memenangi jumlah kerusi melebihi dua angka. Pakatan Rakyat telah memenangi 15 daripada 71 kerusi (atau 21%), tidak termasuk DUN Pelagus yang telah dimenangi calon bebas.

Parti DAP telah muncul sebagai pemenang yang paling besar dengan kemenangan dalam 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi.

Kemenangan besar DAP tidak mungkin akan tercapai tanpa sokongan yang padu daripada pengundi-pengundi bandar. Namun pada masa yang sama, anggapan bahawa sokongan DAP berpunca hanya daripada pengundi Cina adalah salah. Di kawasan-kawasan yang ditandingi DAP, purata sokongan DAP di kalangan Bumiputra melebihi 30%. Di beberapa kawasan pula, DAP telah jauh melebihi angka itu.

Analisa awal telah menunjukkan bahawa di DUN Kidurong di Bintulu yang mempunyai 48% pengundi Bumiputra, dan di mana DAP telah mendapat hampir 70% undi popular, tahap sokongan Bumiputra untuk DAP telah memecah 60%, iaitu 63%. Di DUN Meradong yang mempunyai 43% pengundi Bumiputra, tahap sokongan Bumiputra untuk DAP dianggarkan pada 46%.

Di DUN Kota Sentosa (23% Bumiputra), Repok (22% Bumiputra), Piasau (35% Bumiputra) dan Pujut (30% Bumiputra), DAP telah mendapat sokongan Bumiputra sebanyak 35%, 30%, 39% dan 35% di kawasan masing-masing.

Yang menariknya, purata sokongan Bumiputra yang melebihi 30% untuk DAP adalah lebih tinggi daripada sokongan yang diterima MCA dan Gerakan di kalangan pengundi Cina di Semenanjung Malaysia semasa Pilihanraya Umum 2008. Dalam erti kata lain, sokongan Bumiputra Sarawak untuk DAP adalah lebih tinggi daripada sokongan Cina untuk MCA dan Gerakan di Semenanjung.

Walaupun terdapat kawasan-kawasan seperti Batu Kawa (41% Bumiputra), Dudong (47% Bumiputra) dan Bawang Assan (38% Bumiputra), di mana anggaran sokongan Bumiputra untuk DAP tidak mencapai 30% (25% untuk Batu Kawa, 28% untuk Dudong, 20% untuk Bawang Assan), perlu ditekankan bahawa calon-calon DAP di kawasan-kawasan tersebut merupakan calon kali pertama dan jauh kekurangan dari segi sumber kewangan jika dibandingkan dengan calon-calon BN. Banyak cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi seperti politik wang dan pembelian undi.

DAP mengakui bahawa masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan, namun kami yakin bahawa prestasi ADUN-ADUN DAP yang baru akan membuktikan bahawa parti kami adalah sebuah parti yang komited untuk mewakili kepentingan seluruh masyarakat tanpa mengenali kaum, agama atau bahasa.

Keputusan di Kidurong dan Meradong adalah bukti yang paling nyata bahawa pengundi Bumiputra telah meningkatkan sokongan mereka kerana percaya dan yakin dengan prestasi ADUN DAP.

Di Simanggang pula, kejayaan Leon Donald, ketua bahagian DAP Sri Aman, dalam mengurangkan peratusan undi popular BN daripada 83% pada tahun 2006 kepada 66% adalah contoh yang jelas menunjukkan komitmen DAP untuk memupuk pimpinan baru dari kalangan Bumiputra untuk mewakili dan memperjuangkan kepentingan kaum Bumiputra. Dalam pada ini, adalah diharapkan bahawa cadangan Saudara Lim Kit Siang untuk penggabungan DAP dengan SNAP boleh dilihat sebagai tindakan untuk memperkasakan bukan sahaja DAP tetapi juga Pakatan Rakyat sebagai satu gagasan yang mampu mewakili semua masyarakat Sarawak.

Tuduhan BN yang mengatakan bahawa pengundi Cina telah memberontak menentang BN adalah tidak benar sama sekali. Pandangan ini tidak mengambil kira fakta bahawa sokongan BN telah menurun lebih daripada 10% di 22 kawasan majoriti Dayak dan Orang Ulu dan di 8 kawasan majoriti Melayu-Melanau. Hakikatnya, DAP tidak akan memenangi 6 kerusi tanpa sokongan pengundi Bumiputra Sarawak.

Pakatan Rakyat akan memulakan persiapan untuk meningkatkan sokongan kesemua rakyat Sarawak dalam Piliharan Umum yang akan datang. Dalam ini, DAP akan memainkan peranannya sebagai rakan yang penting dalam gagasan Pakatan Rakyat demi memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak yang sudah rimas dengan kerajaan yang korup Taib Mahmud, Ketua Menteri yang paling lama di sejarah Malaysia.

Leave a Reply