Rencana

Istimewa sangatkah Roketkini? – oleh Aspan Alias

24 MEI – Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Roketkini yang sedang melangkah setapak lagi dalam usaha membetulkan persepsi yang sebenarnya tentang DAP sebuah parti halal yang dibenarkan menjalankan kegiatan mengikut undang-undang negara kita. Roketkini akan berusaha untuk memberikan gambaran sebenar tentang DAP dan tidak payah mendengar pandangan dari pihak lain.

Sesungguhnya usaha ini sepatutnya telah dilakukan oleh DAP dari awal-awal lagi kerana DAP telah dimomokan oleh pihak yang tertentu sebagai parti yang buruk dan ada pula yang memberikan panggilan sebagai parti chauvinis dan berbagai lagi panggilan yang tidak menyelerakan. DAP, melalui Roketkini akan mampu memberikan segala kesedaran kepada rakyat bagaimana parti ini telah menempuh badai yang begitu hebat dengan jatuh bangunnya dalam perjuangannya.

Mendekati semua rakyat berbilang kaum melalui roketkini akan dapat membantu DAP membersihkan dari persepsi negatif dan buruk sangka orang ramai terhadapnya. Saya sendiri telah meminta DAP memberikan saya naskah perlembagaan parti itu dan saya telah meneliti setiap ayat dan perkataannya. Saya ingin tahu apakah benar DAP ini begitu buruk seperti yang digambarkan oleh seteru-seterunya.

Apakah benar DAP merupakan parti yang hanya boleh disertai oleh kaum Cina semata-mata dan mempunyai niat yang begitu buruk terhadap negara yang mereka sendiri adalah rakyatnya. Saya telah membaca perlembagaan parti itu berulang kali dan akhirnya saya membuat kesimpulan momokan terhadapnya selama ini merupakan momokan politik pihak yang tidak mahu parti ini berkembang.

Membaca dan memahami perjuangan sesebuah parti itu tidak semestinya kita bersama tetapi yang pentingnya pemahaman itu akan memberikan rakyat cara pengadilan terhadap nilai kewujudannya itu diberikan pertimbangan yang baik oleh semua pihak.

Saya cenderung untuk memahami DAP dengan lebih dekat kerana apa yang dimomokan oleh pihak tertentu terhadapnya tidak sama dengan apa yang telah dibuktikan oleh DAP kepada pihak ramai. Hanya media massa sahaja tidak mahu mengakui hakikat kebenaran itu kerana pertimbangan politik dan tidak berdasarkan kepada pertimbangan siasah yang betul.

Dengan pelancaran Roketkini pada hari ini, ianya merupakan langkah yang paling sesuai dan kena pada waktunya dalam keadaan rakyat sedang melakukan ‘soul-searching’ yang serius tentang masa depan negara dan rakyat.

Saya sendiri tidak keberatan untuk menulis di dalam ruang Roketkini jika diberikan kesempatan itu. Saya dapat merasakan yang Roketkini akan menjadi bahan bacaan siasah yang akan mendapat sambutan kerana rakyat mempunyai perasaan ‘ingin tahu’ yang tinggi terhadap DAP apatah lagi setelah parti itu berjaya menjadi pentadbir kerajaan negari yang secara relatifnya lebih baik dari pentadbiran sebelumnya.

Rakyat mahu mengkaji apakah sebenarnya formula yang digunakan oleh DAP di Pulau Pinang yang telah membawa pembaharuan dengan kos perbelanjaan negeri yang jauh dari rendah dari kerajaan sebelumnya.

Apakah ‘attribute-attribute’ yang baik yang ada pada DAP yang telah mampu menunjukan kecekapan dan kemampuan untuk mentadbir negeri P Pinang dan sokongan parti itu mentadbir kerajaan negeri Selangor dan beberapa buah negeri yang lain. Tentu ada nilai-nilai yang baik yang menyebabkan DAP berkeupayaan mentadbir kerajaan negeri dengan baik.

DAP berjaya mentadbir Pulau Pinang dengan baik dengan hanya satu sebab yang besar selain dari sebab-sebab yang lain; iaitu memastikan tidak ada ketirisan yang menjolok mata dan telinga rakyat. Kita wajar menghilangkan sikap prejudis terhadap mana-mana pihak dan dengan pelancaran Roketkini ia memungkinkan rakyat mengetahui apa yang mereka tidak tahu tentang DAP selama ini. Dari dahulu lagi kita hanya disajikan dengan perkara-perkara dan elemen yang negatif tentang parti ini.

Saya berharap Roketkini akan menjadi lidah yang menghubungi parti ini dengan rakyat yang berada di seluruh negara. – Roketkini.com

Aspan Alias adalah seorang pemerhati politik veteran and blogger terkenal