Berita

Pakatan mampu buat kejutan di Melaka – oleh Ahmad Danial

Pakatan mampu buat kejutan di Melaka

Oleh Ahmad Danial

MELAKA, 24 MEI – Walau pun sukar, Pakatan Rakyat mampu membuat kejutan di Melaka dalam pilihan raya umum akan datang; dengan itu petugas PR mesti bekerja kuat untuk memastikan negeri Melaka dapat ditawan, kata Adun DAP Bandar Hilir Tey Kok Kiew.

Menurut Tey, PR sudah mempunyai 5 kerusi melalui DAP dan tidak mustahil untuk menang 10 kerusi lagi untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN di mana PAS telah bertanding 13 kerusi, PKR 7 dan DAP 8 dalam PRU 2008. Walau pun hanya DAP yang berjaya mendapat 5 kerusi, undi popular yang diperolehi oleh PR amat menggalakkan.

“Kalau kita kerja kuat sudah tentu PAS dan PKR akan menang beberapa kerusi lagi dan kita akan mendapat majoriti dalam DUN Melaka” kata Tey ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya DUN Ayer Molek di Pekan Ayer Molek dekat sini semalam.

Hubungan antara komponen PR semakin rapat dan semangat baru atas kejayaan meraih undi popular dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini telah meningkatkan lagi keakraban ketiga-tiga parti.

Di majlis yang sama, Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata UMNO tidak mahu rakyat, khususnya orang Melayu didedahkan dengan fakta dan maklumat sebenar kerana ia boleh membangkitkan kemarahan terhadap kerajaan BN.

“Sebab itulah saluran maklumat ditutup dari rakyat oleh kerajaan BN. Tidak ada ruang untuk pimpinan  PAS dan PR untuk bercakap dalam media sama ada elektronik atau cetak.

“Kerajaan menutup ruang maklumat secara total supaya rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat tentang isu-isu semasa. Mereka tidak mahu rakyat mengetahui fakta-fakta sebenar tentang penyelewengan, rasuah, kezaliman dan sebagainya,” ujar beliau.

Idris berkata masjid dan surau tidak dipenuhkan dengan kuliah dan tazkirah tentang ilmu-ilmu Islam seperti siasah syariah, ekonomi Islam, jenayah dan sebagainya.

“Mereka tidak mahu rakyat faham Islam yang sebenar kerana bila rakyat berilmu dan faham Islam dibimbangi mereka akan menyokong PAS dan PR,” tambah beliau.

Beliau menambah rakyat khasnya orang miskin dibiarkan merempat kerana dengan kemiskinan rakyat mudah dibeli dan disogok ketika kempen pilihan raya.

“Jika rakyat berpendapatan tinggi sudah tentu mereka sukar untuk disogok dan dirasuah bagi memancing undi. Sebab itulah kita lihat rakyat miskin khasnya di Sabah dan Sarawak masih ramai seperti yang dibongkar pada PRN Sarawak baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya jentera PAS mesti bekerja kuat untuk menyampaikan risalah perjuangan PAS dan PR kepada orang UMNO dan golongan tidak berparti supaya mereka dapat memikirkan tentang kedudukan politik dan sosial masyarakat hari ini.

Risalah, sepanduk dan bahan-bahan lain mesti dipastikan sampai kepada setiap rakyat supaya rakyat boleh membuat keputusan yang matang dan bijak pada pilihan raya umum akan dating, tambahnya.

Turut hadir dalam majlis ialah Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Melaka Mejar (B) Jasme Tompang, Yang Dipertua PAS Jasin Kamaruddin Sidek dan pimpinan PAS Kawasan Bukit Katil. – Roketkini.com