Rencana

Bingkisan Sarawak untuk Malaysia – oleh Steven Sim

Prestasi hebat Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini telah mengembalikan semangat perjuangan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Benar, yang tersurat dalam PRN Sarawak  ini ialah Barisan Nasional menang majoriti dua pertiga. Tetapi yang tersirat, dan lebih menggemparkan, ialah Pakatan Rakyat telah mendapat sejumlah undi popular yang besar dari SEMUA kaum di Bumi Kenyalang.

“Kekalahan” paling besar dalam PRN Sarawak itu ditanggung oleh UMNO dan Barisan Nasional di peringkat pusat. Ini kerana, sudah jelas hegemoni UMNO menunggu dipecahkan sehabis-habisnya. Kini rakyat tidak mengundi parti pemerintah secara lalai atau pun default. “Fixed deposit” undi BN di Sarawak kini tidak boleh diharapkan untuk menyumbangkan undi tetap kerusi Parlimen.

Pemimpin-pemimpin BN di Sarawak pula terpaksa mengubat kekalahan maruah dan kerugian kewangan dalam kempen paling sukar bagi BN dalam sejarah politik Sarawak. Ada tauke-tauke menteri yang hilang kerusi kepada orang baru daripada Pakatan Rakyat. Dalam keadaan ini, dan dengan barisan pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dua kali ganda lebih kuat daripada sebelum ini, maka hubungan BN Sarawak dan BN Semenanjung kini menjadi “lu jaga sama diri lu, gua jaga sama diri gua”.

Di kalangan Pakatan pula, siapa yang menang? Ramai pemimpin BN berpendapat bahawa kemenangan kali ini adalah kemenangan DAP manakala PAS dan PKR telah kalah. Namun pendapat saya berbeda.

Pertama sekali, tentang PAS. Parti Islam tersebut tidak kalah, malah berjaya julung kalinya telah menembusi dinding politik perkauman yang didirikan oleh BN yang menakutkan majoriti penduduk Sarawak yang beragama Kristian terhadap Islam. Dalam kempen di kawasan majoriti Cina, SUPP, parti komponen BN yang dulunya parti kedua terbesar di Sarawak telah meniru kempen MCA-Gerakan di Semenanjung dengan menakut-nakutkan pengundi bukan Islam bahawa sokongan terhadap DAP adalah sokongan terhadap PAS yang bercorak Islamik.

Malah terdapat kain rentang SUPP yang kononnya Islam itu merendahkan martabat wanita walau pun pada hakikatnya SUPP langsung tidak menawarkan calon wanita pada pilihan raya kali ini sedangkan PAS telah menawarkan dua (2) orang wanita daripada lima (5) calon mereka. Kegagalan SUPP sehinggakan Presiden mereka, Tan Sri Dr. George Chan yang merupakan timbalan ketua menteri Sarawak kalah kerusi beliau, menunjukkan isu kerjasama DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak menjadi masalah kepada pengundi bukan Islam. Malah pendirian PAS yang munasabah dalam isu kalimah Allah dan Al-Kitab Bahasa Malaysia berbanding pendirian UMNO yang ekstremis dan dikatakan “bodoh” oleh Ketua Menteri tan Sri Abdul Taib Mahmud sendiri, telah mendapat sambutan baik pengundi bukan Islam di Sarawak.

Selain daripada itu, prestasi PAS di lima (5) kerusi yang ditandingi jelas meningkat, dengan majoriti berkurangan bagi BN di Subuyau, Beting Maro, Tanjung Datu dan pencapaian yang lebih baik di Maura Tuang walau pun keputusan di Sadong Jaya telah memberikan kekecewaan buat parti tersebut.

Bagi PKR pula, jentera parti yang berumur 10 tahun – walau pun di arena politik pusat yang relatifnya baru setahun jagung dalam politik arus perdana – terpaksa bertembung dengan jentera gergasi bukan sahaja parti PBB-BN, malah penyalahgunaan kuasa Kerajaan Pusat memperalatkan jentera kerajaan dalam kempen PBB-BN. PKR telah berjaya menangkis pelbagai harungan, daripada krisis kepimpinan di Sarawak kepada serangan bertubi BN terhadap Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam konteks ini, PKR dengan berani telah menyahut cabaran melawan BN di 48 kerusi dan telah berjaya menggandatigakan kerusi parti tersebut di DUN Sarawak.

Justeru, PAS dan PKR tidak “kalah”. Malah kemenangan 13 kerusi DAP merupakan kemenangan bersama jentera Pakatan Rakyat yang menggembleng seberapa sumber yang ada walau hanya sesuap kecil. Rakyat tidak memilih setiap parti komponen PR ini berasingan daripada rakan koalisi. Rakyat jelas memilih dengan kesedaran bahawa agenda perubahan adalah agenda bersama Pakatan Rakyat, bukan setakat ideologi parti komponen secara bersendirian.

Walau pun tidak dapat disangkal bahawa terdapat kelemahan di beberapa tempat dalam muafakat Pakatan Rakyat, yang jelas ialah dengan segala ketidaksempurnaan Pakatan Rakyat, koalisi ini jauh menjangkaui BN sebagai pilihan rakyat yang sudah jerih dengan budaya korupsi, kronisme dan kapitalisme melampau berleluasa yang diamal oleh pemerintah.

Dalam PRN Sarawak itu, PAS dan PKR tidak kalah walau tidak menang. Yang kalah itu UMNO, PBB dan BN. Yang menang itu sebenarnya Rakyat Malaysia yang mengidamkan perubahan daripada hegemoni separuh abad BN. Ayuh, kita mara ke PRU ke-13! Bersiap sedia untuk Ubah! – Roketkini.com

Penulis adalah Ahli Majlis MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) di Pulau Pinang dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam jurusan Falsafah. Beliau juga merupakan Bendahari Pemuda DAP Pulau Pinang.