Rencana

Duri dalam daging buat Malaysia – oleh Hafiz Zainuddin

Kita mungkin sukar menggambarkan bagaimana “Malaysia” sekarang ini sekiranya British melaksanakan prinsip jus soli (kewarganegaraan berasaskan tempat lahir). Walaubagaimana pun, sikap toleransi pihak-pihak terlibat dalam isu `common citizenship’ sekitar tahun 1940-an; sekurang-kurangnya 800,000 kerakyatan diberikan kepada imigran Cina dan India dalam proses kemerdekaan negara pada 1950-an. Setelah kerakyatan diberi, maka secara rasmi orang Cina dan India menjadi sebahagian dari keluarga besar Tanah Melayu.

Yang mengemudi: Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama meneraju UMNO, bersama MCA dan MIC sebagai sebuah pasukan dinamai Perikatan. Lalu, tarikh itu Ogos 1957 kita ‘Merdeka’, sudah tentu dengan meletakkan ‘Federal Constitution’ yang diasaskan dari kompromi `Federation of Malaya’ (1948) yang direstui Inggeris sebagai teras pemerintahan manakala ‘People’s Constitution’ (1947) cuma bayang-bayang yang tak kan timbul lagi; mungkin.

Sayang sekali apabila British menolak cadangan ‘People’s Constitution-Perlembagaan Rakyat’ yang dicadangkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan The All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA). Ini bererti, identiti bangsa dan pembinaan tamadun baharu pasca-penjajahan tidak berlaku. Yang tetap diteruskan adalah dasar Inggeris – pecah dan perintah terus berjalan seperti biasa dan terus diwarisi legasi mereka, dan kita harus sedar apakah kesan dari dasar pecah dan perintah yang diwarisi ini.

Apa pun -Tanah Melayu telah menjadi sebuah tapak, sebuah asas, sebuah cetusan, mungkin- sebuah eksperimen British dengan harapan-harapan baru untuk seluruh warga. Ada pun tentangan dan kelemahan yang dihadapi pentadbiran Tunku ketika itu, juga sebelum-sebelumnya, Tanah Melayu terus membangun dengan hasil bumi yang melimpah ruah dan ladang-ladang getah yang subur dari tangan-tangan orang India yang digaji tuan tanah dan lombong-lombong kendalian orang Cina.

Selepas kemerdekaan pada 1957, pembentukan Malaysia pada 1963 dan keluarnya Singapura dari persekutuan pada 1965, dan kita juga tak kan pernah kita lupa kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang sehingga kini penuh dengan persoalan, teori-teori konspirasi elit, sebagai sebuah manifestasi emosi yang terperangkap dalam ruang-ruang sulit politik dan kebencian. Pada masa yang sama menggambarkan bagaimana ‘kita’ pada suatu ketika dahulu menangani ‘konflik kejutan budaya’ dalam negara yang cuma baru berusia belasan tahun, malah kita boleh membuat kesimpulan bahawa koalisi Perikatan sebagai sebuah gabungan yang gagal mengurus konflik dengan baik – menjerumus rakyat ke arah kancah perbantaian berdarah sesama sendiri dan telah mencetus panik di negeri-negeri sekitarnya.

Perikatan kemudian digantikan dengan Barisan Nasional pada 1974. Di bawah mantan PM Mahathir Mohammad, Malaysia diletakkan sebagai sebuah negara ketiga yang pesat membangun. Pembangunan paling pesat adalah di zamannya. Ide ‘Wawasan 2020’ itu sampai menggadai prinsip ‘Bersih Cekap dan Amanah’ dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa secara berleluasa. Walau pun demikian, pembangunan tetap tidak memungkinkan Malaysia lari dari isu yang melibatkan ‘kaum’. Malaysia semakin sakit!

Maka, selepas 1969 kita disaksikan pula dengan konflik 1987. Pertelagahan antara UMNO dan MCA dalam isu pentadbiran sekolah aliran Cina yang telah mengheret parti-parti lain seterusnya membawa kepada Operasi Lalang dengan penahanan seramai 106 pimpinan pembangkang termasuk dari BN di bawah ISA. Dan pada masa yang sama, kita juga tak kan pernah lupa akan pembunuhan beramai-ramai orang Melayu di Memali pada November 1985 akibat fitnah UMNO terhadap PAS di bawah kepimpinan Ibrahim Libya.

Tidak berhenti di situ. UMNO sekali lagi meniupkan trumpet: kaum-agama-kaum-agama! Seperti tak kan pernah selesai sampai bila pun. Tahun 2011, di bawah pentadbiran Najib dan gagasan 1Malaysia, sentimen perkauman dan keagamaan bertiup terlalu kencang sehingga memungkinkan kita, sekali lagi bimbang akan hal-hal yang menakutkan.

Sebagai orang muda saya mula jelak dan bosan dengan mainan ini dan saya mula terfikir. Kewujudan UMNO, MCA mau pun MIC. Apakah ada makna untuk Malaysia masa ini dan akan datang? BN seperti duri dalam daging, api dalam sekam yang mengekang pembentukan sebuah bangsa dan Malaysia yang diimpikan. Apakah akan berlaku keajaiban dalam politik tanah air dalam PRU ke-13 akan datang? Hegemoni perkauman sempit dan ancaman terhadap isu keagamaan cuma menguntungkan BN yang membuktikan mereka sememangnya alat penjajah yang berjaya. – Roketkini.com