Berita

Selangor cari tapak ganti Madrasah al-Taqwa

SHAH ALAM, 25 MEI – Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti tapak baru untuk menggantikan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat yang sudah tidak selamat diduduki.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tapak itu akan tawarkan kepada Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia untuk dibina premis baru.

“Kita akan wartakan tapak itu sebagai tapak untuk rumah kebajikan anak-anak yatim dan Madrasah Al-Taqwa bolehlah memohon tapak berkenaan untuk membina bangunan baru dengan bayaran premium paling rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah Hulu Langat supaya mencari tapak baru yang lebih selamat di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, usaha sedang dijalankan untuk menempatkan anak-anak yatim tersebut di sekolah-sekolah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam membantu NGO-NGO yang perlukan tapak untuk membina bangunan bagi melaksanakan program berbentuk kebajikan dengan hanya mengenakan premium tanah sebanyak RM1.

“Bagaimanapun, NGO ini perlu mematuhi semua peraturan dan menjalin kerja sama dengan pihak berkuasa dalam melaksanakan program-program kebajikan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” kata Menteri Besar.

Sebelum itu, jabatan-jabatan kerajaan negeri telah menyumbang hampir RM223,000 kepada semua mangsa dan keluarga tanah runtuh tersebut.

Kerajaan negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar juga membiayai penempatan sementara ahli keluarga mangsa di Azwen Resort, sepanjang kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan.

Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal juga dihantar bagi membantu pihak berkuasa menjalankan kerja mencari dan menyelamat selain bantuan keperluan harian kepada semua pihak yang terlibat. – Roketkini.com