Berita

Jangan percaya janji BN kekal harga: Guan Eng

GEORGETOWN, 26 MEI – Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak termakan dengan janji kerajaan bahawa harga RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) akan dikekalkan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ini kerana Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat dan kenaikan harga akan dilihat sebagai menguntungkan penjana kuasa bebas (IPP).

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tindakan kerajaan tidak menaikkan harga sekarang juga disebabkan BN takut dengan kekuatan Pakatan Rakyat.

“PR berkemampuan untuk menggerakkan rakyat dalam usaha membantah kenaikan harga barangan dengan mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam syarikat besar seperti IPP yang dilindungi daripada pemotongan subsidi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng menambah, IPP menikmati pemotongan subsidi RM19 bilion setahun sementara 27 juta rakyat Malaysia yang tidak berkemampuan pula terpaksa membayar dengan harga yang tinggi, jika kenaikan harga dilaksanakan.

Bagaimanapun, rakyat perlu berwaspada kerana harga dikekalkan pada masa itu sehaja; sekiranya BN menang lagi dalam PRU, kemungkinan harga barang dan perkhidmatan dinaikkan tidak dapat dielakkan.

Menurut Guan Eng,  kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan bahawa kajian semula dasar subsidi adalah perlu, kerana kerajaan berdepan dengan bebanan subsidi dua kali ganda iaitu dari RM10.32 bilion kepada RM20.58 bilion untuk tahun ini.

“Ini bermaksud, sebaik BN memenangi pilihan raya umum akan datang, tiada siapa yang akan dapat menghalang mereka dari menghapuskan subsidi dan menaikkan harga barang,” katanya.

Oleh itu, hanya perjuangan PR menghentikan kenaikan harga barang dan anti-rasuah sahaja akan menyelamatkan rakyat.

“Bak kata pepatah, (PR akan) menyelam sambil minum air,” katanya.

Dalam pada itu Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengingatkan rakyat berhati-hati dengan taktik BN yang cuba memesongkan orang ramai dengan bermain isu perkauman.

“Taktik terdesak BN memainkan isu perkauman untuk melindungi kenaikan harga barang tidak akan berjaya dengan menipu dan membelenggu rakyat kerana pemotongan subsidi akan meninggalkan kesan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe yang menuduh DAP cuba mencetuskan isu perkauman dalam pemotongan subsidi gula yang melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Bagaimana DAP boleh bermain politik perkauman sekiranya DAP sendiri meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengambil sebahagian daripada keuntungan yang dikecapi Felda untuk membiayai kos dalam bentuk tanggungjawab sosial yang juga dapat membantu Melayu?” soal Guan Eng.

Beliau mempersoalkan hujah Tan, seolah-olah subsidi gula hanya memberi kesan kepada kaum bukan Melayu manakala orang Melayu tidak pula terjejas dengan kenaikan harga gula itu.

“Jelas ini adalah  politik perkauman BN yang cuba memecahbelahkan Melayu dan bukan Melayu dalam kes klasik untuk pecah dan perintah,” tambahnya. -Roketkini.com