Rencana

Dari Seberang Tebrau: Teladan dari PRU Singapura – oleh A. B. Nair

27 MEI – Pada 7 Mei 2011, arena politik Singapura menyaksikan sejarah tercipta dalam pilihan raya umum ke-16 apabila parti pembangkang memenangi jumlah kerusi Parlimen yang paling tinggi sejak kemerdekaan republik itu. Melalui kekalahan Parti Tindakan Rakyat pimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Konstituensi Perwakilan Kumpulan atau pun “Group Representation Constituency” Aljunied, dan di kawasan Hougang, Parti Pekerja Singapura sebagai wakil pembangkang memperolehi 6 kerusi Parlimen. Apa yang lebih menarik tentang kemenangan Parti Pekerja Singapura di GRC Aljunied ialah kecundangnya mantan Menteri Luar Negeri George Yeo sebagai ‘mangsa’ paling berprofil tinggi dalam PRU ini.

Buat julung kalinya, suara keramat rakyat Singapura lantang berkumandang dalam PRU ini – undi popular PAP merosot sebanyak 6.46% kepada 60.14%, sekaligus mencatat prestasi terburuk PAP pasca merdeka. Penganalisis berpendapat bahawa punca merosotnya sokongan untuk PAP termasuk kekecewaan sebahagian besar rakyat jelata yang merasa mereka seolah-olah terpinggir daripada menikmati kekayaan melimpah ruah ekonomi Singapura.

Rencana ini dibahagikan kepada tiga isu dari PRU ke-16 Singapura yang boleh dikatakan wajar kita pelajari serta hayati, pada hemat saya:

1.Dialog yang merangkumi hal ehwal politik dan sosioekonomi.

PRU ini mengetengahkan banyak isu yang dekat di sanubari setiap rakyat Singapura. Dari isu kenaikan kos perumahan hingga ke isu ketibaan lebih ramai pekerja asing di republik pulau tersebut, setiap isu diberi cukup perhatian sama ada melalui ceramah, forum atau pun media sosial. Ramai individu mengambil bahagian dalam dialog yang menyeluruh sesama sendiri atau dengan calon PRU kerana mereka sedar bahawa setiap isu yang diketengahkan akan membawa impak kepada kehidupan seharian mereka masing-masing. Pada masa yang sama, isu seperti kedudukan istimewa Melayu, sensitiviti agama serta kuota kaum minoriti langsung tidak disebut walau sebisik pun.

Senario ini jauh berbeza daripada gelanggang politik di tanah air kita, di mana maki-hamun dan carut-marut menggantikan debat yang bernas mengenai belanjawan tahunan atau sistem pendidikan kita, misalnya. Sedangkan isu yang kritikal kepada pembangunan negara kita dibiar terbengkalai, pucuk pimpinan negara kita lebih cenderung untuk memainkan sentimen yang remeh untuk memporak-perandakan fabrik sosial rakyat kita demi kepentingan mereka sendiri.

Sebagai rakyat yang berhemah serta berpendidikan, kita perlulah menilai setiap isu yang dibentangkan sama ada oleh kerajaan atau pembangkang dengan paradigma yang luas serta objektif. Isu yang teknikal seperti analisis politik dan sosioekonomi misalnya harus lah kita teliti kerana isu besar sebegini lah yang berkait rapat dengan hala tuju pembangunan tanah air kita.

2.Pemilihan wakil rakyat dan menteri secara meritokrasi.

Jika kita memerhati latar belakang kebanyakan wakil dalam PRU ini, ramai yang pernah berkhidmat sebagai ahli ekonomi, pegawai kerajaan, profesor, aktivis sosial dan sebagainya. Sebelum dipilih untuk bertanding, ramai daripada calon ini ditemuduga dan diperiksa latar belakang oleh parti politik masing-masing. Cara ini dapat menjamin barisan pemimpin yang berketrampilan, dan seterusnya, Ahli Parlimen sebegini lah yang dapat meningkatkan mutu perbahasan semasa sidang Parlimen. Jika komposisi demografik diambil kira, kita dapat perhatikan bahawa terdapat ramai wakil dari kaum bukan Cina yang juga dipilih untuk bertanding. Sistem GRC yang dipraktik oleh Singapura juga memastikan agar suara kaum minoriti tidak terpinggir.

Situasi di Malaysia adalah berbeza ibarat langit dengan bumi; di Malaysia, wakil rakyat dan menteri dipilih berdasarkan kuota kaum, serta komposisi demografik kawasan manakala jawatan penting dalam Kabinet lazimnya dirizabkan untuk pemimpin parti komponen Barisan Nasional, bukan untuk calon yang paling layak.

Dalam era zaman ini, polisi negara kita yang memilih individu untuk menjawat posisi yang kritikal dalam Kabinet mahu pun Parlimen berasaskan garis etnik mencerminkan pemikiran yang cetek. Kalau kita masih menaruh harapan agar Malaysia dapat bersaing di persada dunia, kita harus lah berikhtiar untuk mewujudkan sistem pencarian bakat yang adil serta telus. Hanya dengan pemimpin yang berwibawa, negara kita dapat menunaikan harapan rakyat jelata serta menongkah arus cabaran yang melanda.

3.Penglibatan golongan muda

PRU ini merupakan detik yang baru untuk beberapa calon yang bertanding buat julung kali. Antara nama yang disebut-sebut termasuk Vikram Nair (Sembawang-PAP), Nicole Seah (Marine Parade-NSP) dan Intan Azura Mokhtar (Ang Mo Kio-PAP). Ketiga-tiga wakil ini berumur 35 tahun ke bawah, manakala Nicole merupakan calon PRU termuda dengan usia 25 tahun. Yang menarik ialah ketiga-tiga calon ini telah menyahut seruan pimpinan Singapura agar lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam kancah politik, malah mereka juga mempunyai latar belakang yang dinamik. Keputusan Menteri Mentor Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong untuk bersara dari Kabinet juga menandakan bahawa pimpinan Singapura sedia menggantikan pengalaman dengan bakat muda berdasarkan kepentingan semasa.

Di Malaysia pula, terdapat ramai pemuda-pemudi yang ingin melibatkan diri dalam dialog mengenai masa depan tanah air kita. Namun, golongan muda ini seakan-akan ditolak oleh pucuk pimpinan yang nyata terperangkap dalam pemikiran yang kuno. Natijahnya, ramai golongan muda yang mengambil sikap acuh tak acuh mengenai politik kebangsaan, memandangkan pimpinan negara lebih rela mengenepikan suara remaja negara. Dengan penglibatan golongan muda dalam hal ehwal kenegaraan, negara kita akan dapat meremajakan sistem kepimpinannya disamping mengambil inisiatif yang sesuai dengan keadaan semasa, sama ada pada peringkat domestik atau antarabangsa.

Kesimpulannya, walau pun PRU ke-16 Singapura mempunyai aspek tersendiri yang ekslusif kepada senario politik di republik tersebut, ia berjaya memaparkan teladan yang dapat menyumbang kepada aspirasi politik negara kita. Dengan iltizam yang ditunjukkan oleh parti komponen Pakatan Rakyat dalam usaha untuk mereformasikan sistem politik tanah air kita, jika digembleng dengan teladan seperti yang diulas di atas, tidak mustahil jika masa depan politik negara kita tampak lebih cerah. – Roketkini.com