Berita

Tolak UMNO untuk kemajuan rakyat di Sabah

Tolak UMNO untuk kemajuan rakyat di Sabah

KOTA KINABALU, 30 MEI – Sabah bukan sahaja boleh menjadi maju seperti Pulau Pinang, malah mampu menjadikan kehidupan anak negeri lebih baik dan terjamin jika UMNO dan Barisan Nasional ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong berkata bahawa Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP dan Pakatan Rakyat dalam masa tiga tahun sahaja mampu memajukan negeri termasuk menghasilkan lebihan bajet serta menghapuskan kemiskinan tegar.

“Kejayaan yang sama boleh dicapai di Sabah. Tidak seperti Pulau Pinang, kita di Sabah mempunyai sumber asli seperti minyak, gas, balak, kelapa sawit dan tanah-tanah subur. Kita ada hutan, gunung, pulau dan laut yang indah, dan seni budaya pelbagai suku kaum yang boleh menarik pelancong dari serata dunia.

“Kita juga ada anak negeri yang bijak serta rajin bekerja. Jika Pulau Pinang boleh melakukannya, kita juga boleh. Apa yang perlu dibuat ialah Sabah mesti tolak UMNO dan BN, ” katanya di majlis makan malam sempena Pesta Kaamatan 2011 di sini Jumaat lalu.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Exco Kanan Selangor Teresa Kok yang juga setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan pimpinan DAP Sabah.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung (Tawau) berkata UMNO telah menguasai banyak bidang termasuk politik di Sabah dengan meminggirkan parti-parti komponen BN yang lain.

“Parti-parti tempatan seperti PBS, UPKO, PBRS dan LDP hanyalah penumpang dalam bas UMNO…Kadang-kadang apabila mereka (PBS, UPKO, LDP) bising tentang masalah pendatang tanpa izin, UMNO buat tidak peduli dan jeritan mereka seperti anjing menyalak bukit.

“Kadang-kadang ia juga menjadi strategi UMNO untuk membenarkan parti-parti komponen BN buat bising terutamanya apabila dekat waktu pilihan raya untuk membolehkan mereka menarik sokongan suku kaum untuk parti masing-masing.

“Rakyat mesti faham wayang kulit yang dimainkan oleh PBS, UPKO, PBRS, LDP, Gerakan dan MCA di Sabah,” katanya.

Beliau menambah bahawa di bawah pemerintahan UMNO, hanya kroni-kroni UMNO yang mendapat faedah manakala kebanyakan kaum Bumpiutera termasuk mereka yang beragama Islam masih hidup miskin.

“Sabah kini adalah negeri paling miskin di Malaysia sebagaimana yang dilaporkan oleh Bank Dunia. Mari kita ubah kerajaan UMNO-BN sebelum kita menjadi lebih miskin dan terpaksa menjadi pengemis dan orang asing di negeri sendiri,” katanya.

Wong berkata sambutan Kaamatan atau pesta menuai amat bermakna kerana ia membolehkan DAP dapat bersama-sama dengan kaum Kadazan, Dusun dan Murut untuk meraikannya.

“DAP kini sudah berjaya menarik perhatian orang ramai terutama sekali pemimpin-peminpin berkaliber daripada suku kaum Kadazan Dusun Murut,” tambahnya. – Roketkini.com

Insan Poh Vagu – Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan