Budaya

Seni bina adalah menifestasi nilai dan budaya hidup kita – oleh Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi

Dalam membangunkan sebuah negara, perkara yang paling penting sekali adalah hubungan antara manusia. Kita boleh membina alat senjata untuk mempertahankan negara. Kita boleh menjana ekonomi untuk memberi makan kepada setiap rakyat dalam negara tersebut. Tetapi jika kita gagal untuk hidup bersama dengan toleransi dan kasih sayang, lambat laun negara itu akan binasa.

Sama juga ia dengan sebuah keluarga. Rumah boleh besar dan indah. Kereta pun tidak kurang hebat mewahnya. Makan pun berlebihan. Tetapi jika hubungan kekeluargaan tidak wujud atas landasan kasih sayang, hormat menghormati, maka keluarga itu tidak bahagia dan lambat laun akan bercerai-berai.

Seni bina, bagi mereka yang memahaminya dengan sebenar, tidak lebih dan tidak kurang dari dua analogi ini. Seni bina adalah manifestasi fizikal dalam bentuk konkrit, keluli dan batu-bata; apakah kita sebagai komuniti, masyarakat dan individu yang bertamaddun dari sudut hubungan kita sesama sendiri, hubungan kita dengan alam persekitaran dan hubungan kita dengan Pencipta.

Seni bina adalah alam bina ciptaan manusia, bukan ciptaan Tuhan. Apa yang kita lihat pada seni bina sesuatu masyarakat adalah refleksi langsung terhadap sosial, budaya, politik dan aspirasi masyarakat tersebut. Dalam kolum ini, saya akan membicarakan tentang bagaimana keadaan seni bina perumahan, keagamaan, kemasyarakatan, pendidikan dan politik dalam negara kita, Malaysia, dan bagaimana perlu kita merubah sikap dan strategi reka bentuk bagi menghasilkan corak kehidupan yang lebih bermakna dalam erti kata keharmonian hidup pelbagai budaya.

Dari segi perumahan, saya akan menyentuh bagaimana jenayah berleluasa kerana perancangan perumahan kita. Saya akan menyebut juga bagaimana reka bentuk rumah teres dan pangsapuri merosakkan budaya privasi sehingga melahirkan ketegangan perkauman. Saya akan menjelaskan bagaimana seni bina moden rekaan arkitek Malaysia tidak sensitif kepada proses ketuaan ibu bapa dan proses pembesaran anak-anak kita.

Saya akan memperlihatkan bahawa komuniti kita tidak sehaluan dalam mengejar muhibbah di kalangan rakyat Malaysia dengan reka bentuk bangunan komuniti seperti dewan serbaguna, masjid dan sekolah yang tidak langsung mengambil kira permasalahan ini. Saya akan menunjukkan bagaimana kita boleh menghasilkan perancangan perumahan dan rek abentuk rumah yang selamat untuk kanak-kanak, yang mesra kepada orang tua, yang menggalakkan interaksi sosial, yang selamat dari jenayah, yang selesa dari kepanasan tropika, yang membantu perkembangan keluarga, yang menyemai tumbesaran anak-anak kita dan akhir sekali yang membentuk politik sihat masyarakat Malaysia.

Dari segi bangunan pendidikan seperti universiti, saya akan mengupas bagaimana seni bina ‘kesultanan’ seperti ekspresi seni bina UTM Johor memulakan era di mana tiada lagi ekspresi kebebasan pemikiran pelajar dibenarkan di bawah kongkongan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Kekuasaan dominan pihak pentadbiran universiti merampas hak pelajar bersuara dengan lantangnya terserlah dalam seni bina kampus yang lesu terhadap semangat kewujudan mahasiswa. Keseluruhan kampus bagaikan istana kayangan yang memerintah rakyat ‘hambaan’ yang tinggal jauh sekeliling lingkaran kawasan ‘larangan’.

Hanya seni bina Taylor’s University yang menjadi penyelamat terhadap bahasa seni bina mahasiswa dengan jisim serta ruang yang mesra pelajar dan ketiadaan langsung seni bina feudalisme terhadap ekspresinya. Saya juga akan menyoal seni bina sekolah rendah dan menengah terhadap bagaimana mengatasi masalah ‘buli’, masalah penculikan pelajar dan aspek keselamatan dalam perkarangan sekolah. Saya juga akan merangka garis panduan yang lebih kritis terhadap penghasilan seni bina persekolahan yang boleh menjawab isu perkauman dan memberi inspirasi serta membantu pelajar mempelajari silabus yang lebih munasabah.

Dari segi seni bina masjid, saya akan mengutarakan beberapa ide yang nampak agak radikal. Saya mencadangkan seni bina masjid di Malaysia masa kini tidak mengikuti semangat Sunnah Nabi Muhammad SAW. Bagi saya, masjid perlu direka bentuk dengan lebih kecil skalanya, dengan lebih mesra kepada komuniti Islam dan bukan-Islam serta mempunyai seni bina regionalisme yang lebih bertanggungjawab dari sudut kos dan pengurusannya. Tidak lagi masjid perlu berkubah mahal, bermenara yang terlalu banyak dan bergerbang ala-Arab. Masjid perlu mempunyai ruang Suffa untuk orang ‘homeless’ dan boleh dibina dalam menara pejabat atau perniagaan di tingkat-tingkat atas. Masjid perlu menjawab bukan sahaja semangat tawadhu’ atau rendah diri, perlu mesra pengguna, perlu mesra bagi bukan-Islam dan dinamik dalam penggunaan ruang bagi menyahut kehidupan moden, ia juga perlu lestari dalam pembinaan. Kesemua aspek ini dan persoalan tentang seni bina Islam akan juga saya kupaskan

Dari segi bangunan pentadbiran, saya mengajukan persoalan tentang perlunya konsep seni bina demokrasi. Apakah dia seni bina demokrasi? Dalam memastikan identiti seni bina Malaysia, selalu diajukan terhadap penggunaan seni bina tradisional warisan Melayu dan penggunaan bahasa seni bina imperial atau ‘kesultanan’. Seni bina demokrasi yang diasaskan daripada pemikiran Frank Lloyd Wright adalah berskala manusia, bersahaja, lestari, mesra alam, mengingatkan pemimpin terhadap akar umbi mereka dan memberi hak rakyat berkumpul pada ruang awam. Seni bina pentadbiran masa kini terlalu elitis dan ‘kebangsawanan’ atau aristokratik dengan kemewahan bahan, dan ekspresi seni bina keistanaan.

Dari isu-isu utama tersebut di atas, saya juga akan membuat kritikan konstruktif terhadap seni bina kontemporer yang melibatkan tipologi bangunan lain. Kolum ini tidak akan membicarakan seni bina ‘tourism’ yang mengukirkan cerita romantik seni bina warisan. Ia adalah platform untuk kita sesama rakyat merenung ritual kehidupan harian dan bertanyakan sama ada kita sedar atau tidak terhadap betapa pentingnya kita memikirkan semula prioritas kehidupan.

Dalam ertikata lain, identiti seni bina Malaysia kini adalah apa yang terserlah masa kini. Ia adalah refleksi kelemahan pemikiran kita terhadap siapa kita sebagai manusia, siapa kita sebagai ahli komuniti dan siapa kita sebagai rakyat Malaysia. Kita perlu menuding jari kepada kita sendiri jika kita ingin membuat perubahan dalam seni bina di sekeliling dengan memastikan kewujudan kerajaan di bawah pimpinan mereka yang betul-betul berkeupayaan untuk memberi khidmat cemerlang demikepentingan bersama dan bukannya semata-mata poket sendiri.

Saya mengharapkan untuk membawa mesej bahawa seni bina sebenarnya adalah manifestasi nilai dan budaya kehidupan kita. Krisis seni bina kita hari ini sebenarnya refleksi terhadap krisi nilai kita sebagai manusia dan sebagai rakyat negara ini. Bagi mengubah permasalahan seni bina, kita perlu merenung kembali nilai-nilai dan budaya moden masyarakat kini dan mengambil langkah positif untuk mengubahnya.

Saya hanya seorang arkitek yang boleh mencadangakan reka bentuk bagi masyarakat yang bertamaddun. Kita semua sebagai rakyat perlu mengubah diri kita sendiri demi menghasilkan bukan sahaja seni bina yang serasi tetapi juga sebuah negara yang berpaksikan ketamadunan kemanusiaan yang mulia dan hakiki.

Rekabentuk pangsapuri oleh Saudara Wan Fairuz (UTM) yang lebih mesra kepada orang tua, kanak-kanak, penghuni pelbagai ugama dan interaksi sosial

Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi adalah Profesor Jabatan Seni Bina di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia