Berita

Inflasi naik hanya 0.27%?

Inflasi naik hanya 0.27%?

KUALA LUMPUR, 1 JUN – Logik Barisan Nasional bahawa kadar inflasi hanya naik 0.27 peratus berikutan penarikan balik subsidi adalah tidak munasabah dan cuma mampu memperbodohkan rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata penarikan subsidi telah menyebabkan kenaikan kos pengangkutan selain harga ikan turut melambung akibat nelayan mendapati harga untuk turun ke laut terlalu mahal.

“Bagaimana kerajaan mengatakan inflasi meningkat hanya 0.27 peratus sedangkan semua orang terbeban dengan kenaikan harga barang yang lebih dari 0.27 peratus?” soalnya dalam kenyataannya hari ini.

Guan Eng berkata, sementara penarikan subsidi kepada golongan miskin  memberi impak besar kepada negara, keengganan kerajaan pusat untuk mengarahkan syarikat penjana kuasa bebas (IPP) untuk berkongsi beban tidak akan menjimatkan kos-kos, atau menambahbaikkan lagi sistem penghantaran atau pengangkutan.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu lagi, Malaysia mempunyai simpanan tenaga mentah yang tertinggi di dunia iaitu sebanyak 52.6 peratus, dan TNB tidak perlu membeli tenaga dari IPP.

“Jika TNB tidak memerlukan tenaga yang mereka tidak gunakan, maka subsidi gas akan dapat dijimatkan sebagaimana Petronas menjual gas kurang dari 30 peratus dari harga pasaran,” kata Guan Eng.

Tambahnya lagi, walau pun ahli ekonomi bersetuju dengan mengurangkan subsidi akan mempertingkatkan lagi kecekapan, ketidakadilan sistem sedia ada hanya akan menyelamatkan sektor-sektor korporat yang sudah kaya, bukan menyelamatkan golongan berpendapatan rendah.

“Bagaimana Perdana Menteri membina budaya yang inovatif untuk Malaysia jika kroni-kroni besar dan amalan malas bersaing dibenarkan di negara ini?” soalnya.- Roketkini.com