Berita

Ahli-ahli DAP Melayu tetap setia


KUALA LUMPUR, 2 JUN –

Pembantu Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Selangor Mohamad Samat berkata tindakan bekas Pengerusi DAP Cawangan Kampung Lembah Kinrara yang mengisytiharkan keluar DAP untuk menyertai UMNO membuktikan sikap yang tamak.

Mohamad yang juga Pengerusi DAP Cawangan Saga Pandan Ampang menjelaskan Harun Abdul Wahab yang keluar parti itu hanya berniat untuk mendapatkan peruntukan dan projek semata-mata.

“Beliau tidak layak menjadi seorang pemimpin. Orang ramai tidak perlu berasa terkejut kerana orang seperti ini sepatutnya keluar dari DAP sebelum beliau menyusahkan parti pada masa yang akan datang” katanya.

Menurut laporan akhbar Sinar Harian semalam, Harun dipetik sebagai berkata beliau keluar DAP kerana “…apa jenis peruntukan dan projek pun tak pernah dapat. Dengan rela hati saya keluar DAP dan berjuang demi kepentingan orang Melayu.”

Mohamad berkata Harun juga bersikap tidak adil dengan menuduh DAP tidak membela rakyat sedangkan beliau (Harun) sendiri adalah seorang pengerusi cawangan DAP yang tidak berfungsi di kawasannya.

Beliau menjelaskan lagi bahawa DAP telah pun melantik lebih 5 orang ahli Melayu yang mewakili parti dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum.

Mohamad menyeru ahli-ahli DAP di kalangan Melayu supaya memahami pendirian dan hala tuju DAP dengan membaca perlembagaan parti agar tidak terpengaruh dengan golongan yang tiada pendirian atau berniat untuk sabotaj DAP.

“Kami ahli-ahli DAP Cawangan Saga dalam DUN Teratai di Pandan yang merupakan kesemua ahlinya orang Melayu sentiasa diberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan tulus dan ikhlas tanpa mengharapkan atau dijanjikan apa-apa ganjaran,” tambahnya.

Beliau yakin lebih ramai orang Melayu yang ikhlas akan menyertaai DAP pada masa akan datang kerana parti itu memperjuangkan hak rakyat, kebebasan, demokrasi dan kesaksamaan masyarakat tanpa mengira kaum. – Roketkini.com