Berita

Kadar tarif air di Pulau Pinang tidak akan dinaikkan.

PUTRAJAYA, 2 JUN – Kerajaan Pulau Pinang tidak akan menaikkan tarif air untuk memastikan para pengguna di negeri itu tidak dibebankan dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin menekan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerana kerajaan negeri kini mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air kerana ia tidak lagi terletak di tangan kerajaan pusat atau Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Katanya kerajaan pusat atau PAAB mestilah merujuk kepada kerajaan negeri Pulau Pinang terlebih dahulu. jika ada cadangan mahu menaikkan kadar tarif air.

“Ini adalah lebih baik daripada terma-terma sebelumnya kerana pinjaman negeri berjumlah RM655.24 juta, seharusnya dikenakan kadar faedah 3 peratus tetapi sekarang sudah tidak dikenakan faedah dan akan dibiayai oleh PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang),” katanya pada majlis menandatangani perjanjian semula perkhidmatan bekalan air negeri dengan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Selain itu tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, pembiayaan projek  Empangan Mengkuang yang berjumlah RM1.2 bilion akan diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang sebagai geran oleh kerajaan pusat.

Oleh itu, katanya, geran untuk projek pembesaran Empangan Mengkuang akan diperbesarkan kepada 78 juta meter padu dan dipercepatkan kerana kapasiti sekarang 23 juta meter padu amat sedikit untuk menampung penggunaan air Pulau Pinang.

“Ini kerana kadar penggunaan air di Pulau Pinang adalah yang paling tinggi di Malaysia iaitu sebanyak 286 liter sehari untuk setiap orang,” katanya.

Atas sebab itu juga, beliau menjelaskan, kerajaan negeri akan terus mengkaji kenaikan kadar Water Conservation Surcharge untuk menghukum pengguna domestik yang membazirkan air.

Jelasnya lagi, kesungguhan kerajaan negeri memeterai perjanjian bersejarah ini dengan kerajaan pusat menunjukkan komitmen kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang untuk menjaga kepentingan nasional dan memberi manfaat kepada rakyat.

Majlis menandatangai perjanjian penstrukturan semula air negeri Puau Pinang di Putrajaya itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin.

Asas –asas utama perjanjian itu yang memberi kelebihan kepada Pulau Pinang adalah:

  • Tidak perlu membayar semula RM655.24 juta pinjaman bekalan air kepada kerajaan persekutuan di mana akan dibiayai oleh PBAPP;
  • Kerajaan negeri Pulau Pinang akan diberi peruntukan geran sejumlah RM1.2 bilion untuk projek pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang;
  • Kerajaan persekutuan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek pengendalian sumber bekalan air;
  • Meringankan bebanan kewangan untuk pembangunan dan peningkatan penyediaan bekalan air;
  • Membolehkan PBAPP menfokuskan sepenuhnya terhadap penyediaan bekalan air dirawat dan penyediaan perkhidmatan serta tumpuan terhadap pencapaian operasi yang efisien, peningkatan kualiti air dan lain-lain perkhidmatan;
  • Membolehkan PBAPP bergerak ke arah pemulihan kos dan kemandirian kewangan untuk jangka masa panjang; dan
  • Mengekalkan kuasa menentukan kadar tarif air Pulau Pinang oleh warga Pulau Pinang sendiri. – Roketkini.com