Kenyataan Akhbar

Ucapan Lim Guan Eng pada majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Pulau Pinang

UCAPAN OLEH YAB TUAN LIM GUAN ENG, KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PENSTRUKTURAN SEMULA PERKHIDMATAN BEKALAN AIR NEGERI PULAU PINANG DENGAN KEMENTERIAN KEWANGAN DI PUTRAJAYA PADA 2 JUN 2011

Yang Amat Berhormat Dato’  Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Perdana Menteri,

Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah

Menteri Kewangan II

Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Peter Chin Fah Kui

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah

Ketua Setiausaha, Perbendaharaan Malaysia

Yang Berbahagia Cik Loo Took Gee

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Yang Berhormat Dato’ Haji Farizan bin Darus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri,

Dato-dato’, Datin-datin,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat petang dan salam sejahtera

Kadar Tariff Air Di Pulau Pinang Tidak Akan Naik Untuk Kadar Domestik

Terlebih dahulu saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kerana sudi hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang pada hari ini. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah, Menteri Kewangan II dan Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kerana turut hadir pada hari ini.

Hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Kewangan akan menandatangani persetujuan di mana Kerajaan Negeri akan bersetuju untuk memindahkan aset teras pengusaha air, iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), sebagai pertukaran penyelesaian penstrukturan semula baki pinjaman Persekutuan yang dimiliki oleh Pulau Pinang.

Di bawah Water Services Industry Act 2007 atau WSIA, semua syarikat bekalan air akan dikawal selia dan dilesenkan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). SPAN bertanggungjawab untuk menetapkan serta memantau pengoperasian syarikat-syarikat bekalan air. Penstrukturan semula diperlukan untuk meningkatkan kualiti air dan meringankan bebanan pembiayaan pembangunan infrastruktur air yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi, yang mana kini menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan PAAB. PAAB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan  untuk memudahkan pemindahan serta menyediakan peruntukan kewangan demi pembangunan bekalan air di masa hadapan.

Kerajaan negeri amat prihatin dengan empat perkara utama berikut:

•        Pinjaman Kerajaan Negeri berjumlah RM655.24 juta kepada Kerajaan Persekutuan akan diberikan tanpa faedah dan tanpa batasan pemsempadanan berkaitan aset air terhadap PAAB bagi tempoh 45 tahun. PAAB akan menyewa kembali aset air kepada PBAPP untuk tempoh 45 tahun. PBAPP akan membayar PAAB kadar sewaan tahunan sejumlah RM14.56 juta sehingga tamat tempoh 45 tahun, secara automatik tanah akan dikembalikan kepada negeri.

•        Pembiayaan projek pembesaran Empangan Mengkuang berjumlah RM1.2 bilion akan diberikan sebagai geran oleh Kerajaan Persekutuan;

•        Segala semakan semula atau kenaikan kadar tarif air mestilah mendapat persetujuan dan kelulusan Kerajaan Negeri.

Ini adalah lebih baik daripada terma-terma sebelumnya kerana pinjaman negeri berjumlah RM655.24 juta, seharusnya dikenakan kadar faedah 3% tetapi kini adalah tanpa faedah dan akan dibiayai oleh PBAPP. PAAB juga akan menyediakan peruntukan pada kadar terendah mengikut harga pasaran semasa kepada PBAPP bagi projek baharu dan projek peningkatan infrastruktur bekalan air di Pulau Pinang.

Tambahan pula, sejumlah RM1.2 bilion akan ditukar menjadi geran dan bukannya pinjaman tanpa faedah yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Akhirnya Kerajaan Negeri mempunyai kuasa menentukan kadar tarif air dan bukannya Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Kewangan dan PAAB akan menandatangani ’National Water Services Industry Restructuring Initiatives’ yang mempunyai 7 kelebihan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti berikut:

1.     Tidak perlu membayar semula RM655.24 juta pinjaman bekalan air kepada Kerajaan Persekutuan, di mana akan dibiayai oleh PBAPP.

2.     Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan diberi peruntukan geran sejumlah RM1.2 bilion untuk projek pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang.

3.     Kerajaan Persekutuan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek pengendalian sumber bekalan air.

4.     Meringankan bebanan kewangan untuk pembangunan dan peningkatan penyediaan bekalan air.

5.     Membolehkan PBAPP menfokuskan sepenuhnya terhadap penyediaan bekalan air dirawat dan penyediaan perkhidmatan serta tumpuan terhadap pencapaian operasi yang efisien, peningkatan kualiti air dan lain-lain perkhidmatan.

6.     Membolehkan PBAPP bergerak ke arah pemulihan kos dan kemandirian kewangan untuk jangka masa panjang.

7.     Mengekalkan kuasa menentukan kadar tarif air Pulau Pinang oleh warga Pulau Pinang sendiri.

Geran yang bernilai RM1.2 bilion untuk projek pembesaran Empangan Mengkuang akan dipercepatkan pemindahannya. Pada masa ini, kapasiti Empangan Mengkuang adalah 23 juta meter padu dan akan diperluaskan serta ditingkatkan kapasitinya kepada 78 juta meter padu. Ini adalah kritikal kerana mampu menampung keperluan air semasa dalam negeri sehingga tahun 2020.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memerlukan modal yang besar untuk sistem bekalan air dan penstrukturan semula perlu dilaksanakan bagi memastikan operasi dan pembekalan bekalan air mencukupi. Kami berharap agar inisiatif ini dapat meringankan bebanan kewangan negeri dalam membangunkan sumber bekalan air dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan untuk meninjau kenaikan kadar tarif air pada masa hadapan. Pulau Pinang bergantung kepada janji Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri dan PBAPP tidak perlu bergantung pada peruntukan pinjaman dari mana-mana institusi kewangan pada masa hadapan.

Kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memeterai perjanjian bersejarah berkaitan penstrukturan semula bekalan air dengan Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional demi kepentingan nasional dan manfaat kepada rakyat.

Bukan seperti yang berlaku sebelum ini bila kadar tariff air dinaiikan sebaik sahaja surat perjanjian sedemikian dimeteraikan, kerajaan negeri boleh memberikan jaminan bahawa tariff air tidak akan dinaikkan untuk kadar domestik. Akan tetapi memandangkan Pulau Pinang mengalami penggunaan air yang paling tinggi di Malaysia sebanyak 286 liter sehari seorang, kerajaan negeri akan terus mengkaji kenaikan kadar Water Conservation Surcharge untuk menghukum pengguna domestik yang membazirkan air.

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah, Menteri Kewangan II dan Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di atas kesudian hadir ke majlis pada hari ini. Juga ucapan terima kasih kepada sekalian yang hadir pada majlis ini.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus bagi memastikan majlis ini dijalankan dengan jayanya.

Sekian, terima kasih.