Berita

Mohamad Sabu mahu lebih aktif dalam Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 JUN – PAS tidak akan mengubah dasar, prinsip dan ideologi, hanya perlu mengubah suai pendekatan-pendekatan tertentu bagi memenuhi keperluan rakyat.

Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih Mohamad Sabu berkata kemenangannya dalam pemilihan pada mukmatar parti ke-57 di sini tidak akan membawa sebarang perubahan kepada dasar-dasas PAS.

“Cuma gerak kerja sahaja akan diubah,” katanya, merujuk kepada kemungkinan perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan di peringkat biro-biro parti.

Beliau berjanji akan menggunakan kedudukannya sebagai timbalan presiden untuk memenuhi harapan orang ramai termasuk kaum-kaum bukan Melayu dan bukan Muslim terhadap PAS dan Pakatan Rakyat untuk memantapkan perjuangan rakyat.

Beliau juga mahu menambah usaha dan peranannya dalam Pakatan Rakyat serta para NGO yang seangkatan dengannya bagi memastikan kejayaan usaha PAS membentuk negara berkebajikan bersama Pakatan Rakyat di samping menentang UMNO dan Barisan Nasional.

Pemimpin PAS yang berusia 56 tahun itu menang setelah menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi pencabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat berharap dapat membantu PAS dalam kerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk menarik sokongan orang ramai khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mohamad juga yakin keputusan para pewakilan muktamar PAS bukan sahaja tidak menjejaskan perpaduan yang terjalin dalam parti, malah ia mampu membawa PAS jauh lebih maju.

Beliau juga menyifatkan kemenangannya sebagai kecenderungan perwakilan memilih calon-calon yang lebih kerap terlibat dengan aktivisme dan program-program kemasyarakatan.

Menurutnya, walau pun tidak semua calon yang gigih dalam aktivisme menang, perwakilan mungkin memilih calon-calon yang mereka anggap lebih dekat dengan orang ramai, terutamanya dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan dalam masa yang teredekat ini.

Walau pun sering ditekan pihak berkuasa berikutan aktivisme beliau dalam pelbagai isu rakyat serta diperlekehkan oleh media arus perdana milik UMNO, Mohamad amat popular di kalangan semua kaum.

Beliau yang pernah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas perjuangan membantu rakyat, juga popular di kalangan rakan-rakan dalam Pakatan dengan kata-katanya: “Kalau PAS keluar Pakatan Rakyat, BN akan memerintah sehingga hari kiamat”.

Pendirian sedemikian juga menyebabkan Mohamad sering menjadi sasaran pemimpin dan penyokong tegar UMNO serta media-media milik parti pemerintah itu. – Roketkini.com