Uncategorized

“Planking” mudah dan selamat jika betul caranya

Membangkitkan kesedaran sivil masyarakat bukanlah sesuatu perkara baru dalam dunia hari ini. Pelbagai cara digunakan atas nama kesedaran sivil masyarakat. Sama ada pendekatan konservatif seperti cara lisan dan penulisan, atau pun pendekatan era baru “new age” yang menjadikan tindakan atau peri laku serta lukisan sebagai satu cara untuk membangkitkan kesedaran sivil masyarakat.

Di kebanyakan negara Asia dan Australia, tindakan meniarap dengan tangan lurus di sisi badan yang digelar “planking” telah menjadi satu bentuk ritual yang diterima dalam membangkitkan kesedaran sivil masyarakat. Dengan ritual “planking” ini dilakukan di tempat-tempat yang bukan kebiasaan seperti di tangga atau di atas bangku kecil dan kemudiannya diambil gambar peserta serta dimuat naik ke internet.

Ada yang beranggapan bahawa “planking” ini merupakan satu tindakan yang berbahaya dan tidak cerdik. Namun ia sebenarnya merupakan satu tindakan yang lembut (non-violent act) dan dengan mengambil kira aspek keselamatan, ia boleh menjadi satu lagi aktiviti yang mampu menggamit perhatian masyarakat untuk mengambil peduli situasi yang berlaku.

Berzaman dahulu, ramai antara aktivis masyarakat di seluruh pelusuk dunia telah mengambil pelbagai pendekatan dalam mengutarakan kepedulian mereka terhadap sesuatu isu. Malah, ada yang mengambil pendekatan yang sedikit kritikal sehingga sanggup mengorbankan nyawa mereka sendiri seperti membakar diri, tidak kurang juga ada yang mengadakan mogok lapar hanya untuk menyatakan mesej curahan rasa mereka.

Kita pernah melihat bagaimana Mahatma Gandhi telah melakukan mogok lapar ketika zaman perjuangannya. Seorang sami Buddha di Vietnam, Hòa thượng Thích Quảng Đức sanggup membakar dirinya sendiri sebagai simbol protes terhadap kekejaman regim pemerintah ketika zamannya.

Bagaimana pula dengan tindakan sekumpulan individu yang berbaring di atas jalan raya di Hong Kong untuk memprotes mengenai tahap kualiti udara Hong Kong ketika ini? Apakah mereka ini tidak cerdik? Apakah mereka ini hanya ingin meraih publisiti sahaja?

Adalah sangat tidak adil sekiranya kita hanya menyalahkan rupa idea atau tindakan itu semata-mata. Seperti juga dalam Dasar Ekonomi Baru, ia merupakan satu dasar yang baik dari segi ideanya, namun pelaksanaannya telah menjadi sesuatu yang menampakkan dasar tersebut pincang dan menindas tersasar jauh dari hakikat idealisme dasar itu. Begitu juga dengan “planking” atau apa jua aksi ekstrem. Ia tidak harus dipersalahkan sekiranya pengendali aksi ini melupakan aspek keselematan sendiri.

Sekiranya kita layari laman-laman web yang memaparkan aksi “planking” ini, kita akan dapati bahawa kebanyakan laman-laman ini menganjurkan aktiviti “planking” yang selamat dan sesuai. Aspek keselamatan sememangnya menjadi keutamaan bagi pengendali aksi “planking”.

Seperti yang saya buat baru-baru ini, ia dilakukan diatas sebuah bangku kecil yang tidak akan mendatangkan potensi kecederaan teruk sekiranya terjatuh. Malahan, sebelum aksi ini dilakukan, ada pasukan yang sememangnya telah melihat aspek keselamatan yang perlu dipatuhi agar tiada kemalangan boleh berlaku.

Akhir kalam, tidak kira apa jua aksi atau tindakan sekiranya ia tidak melalui aspek keselamatan yang sesuai ia akan menjadi bahaya. Namun dengan peringatan dan juga perhatian terhadap aspek ini, ia berupaya menjadi satu tindakan yang boleh membangkitkan kesedaran sivil masyarakat. Dan untuk mengatakan “planking” adalah satu tindakan ofensif yang berbahaya dan tidak cerdik sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat tidak cerdik.

Er Teck Hwa

Ahli Parlimen Bakri