Berita

Penduduk Melayu Bachang dianiaya

MELAKA, 6 JUN: Kerajaan negeri Melaka perlu membantu penduduk Kampung Pasir Putih di Bachang yang ditindas berikutan pihak pemaju merampas tanah yang mereka duduki sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bachang Lim Jak Wong berkata kerja perobohan di kampung itu dilakukan oleh pemaju Koperasi Anak-Anak Bachang yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO pada 26 Mei lalu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka berkata penduduk kampung yang marah dan tidak puas hati dengan tindakan yang tidak berperikemanusiaan telah mengadakan tunjuk perasaan di perkarangan Seri Negeri Melaka minggu lalu.

“Demonstrasi ini bermatlamat untuk menuntut keadilan kepada penduduk kampung tersebut. Penduduk kampung yang masih tinggal di tanah tersebut merupakan penduduk asal yang berpuluh-puluh tahun tinggal di tanah KTM.

“Namun,mereka tidak mendapat perhatian dari pihak kerajaan dalam usaha mendapatkan penempatan yang terjamin,” katanya.

Menurut Lim, Ketua Menteri Datuk Seri Ali Rustam perlu bertanggungjawab untuk menghentikan tindakan-tindakan zalim dan tidak adil terhadap penduduk-penduduk di sekitar tanah rezab.

“Penduduk kampung juga harus diberikan pampasan yang sewajar supaya kehidupan harian mereka tidak terjejas,” tambahnya.

Salah seorang penduduk kampong itu, Azahar Ghazali berkata, mereka telah lama tinggal di kampung berkenaan, malah anak-anak mereka dilahirkan di tempat berkenaan.

Malangnya, beliau berkata, mereka yang tinggal di kampong itu dihalang daripada menjadi ahli koperasi kerana dianggap sebagai ‘orang luar’ dan bukannya anak asal Bachang.

Surirumah yang hanya mahu dikenali sebagai Nabsiah berkata, sebelum koperasi itu wujud sejak 10 tahun lalu, tanah itu tidak dimiliki oleh mana-mana pihak.

Katanya, setelah ada koperasi berkenaan, ahli-ahlinya telah menuntut hak tanah sedangkan penduduk asal diketepikan.

Penduduk kampung kesal dengan Koperasi Anak-Anak Bachang yang didakwa mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menganiaya orang Melayu yang menetap dan lahir di kampung itu. – Roketkini.com