Berita

Lima operasi banteras jenayah perlu disegerakan: Guan Eng

GEORGETOWN, 6 JUN – Pakatan Rakyat, jika dapat membentuk kerajaan pusat, akan melaksanakan kesemua 125 cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis bagi menambah baik pasukan polis negara untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara menunggu pilihan raya umum akan datang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mencadangkan kerajaan dan polis supaya melaksanakan segera operasi membanteras jenayah melalui lima syor:

  • Menubuhkan satu mekanisme penyamakan bebas IPCMC yang akan membentuk ketelusan dan kebertanggungjawaban PDRM terutamanya dalam memerangi gejala rasuah;
  • Meletakkan anggota polis di kawasan-kawasan ‘panas’ di mana mereka boleh mengguna dan melatih ‘deria’ mereka;
  • Menubuhkan polis komuniti dengan kerjasama sukarela oleh polis peronda serta memasang kamera litar tertutup CCTV;
  • Kebebasan mutlak polis dalam membanteras jenayah tanpa campur tangan politik; dan
  • Tindakan segera sama ada menangkap pesalah-pesalah yang bertanggungjawab atau mengemaskini data-data aduan berkaitan laporan penyiasatan.

Beliau berkata kebimbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap persepsi orang ramai berhubung ketakutan mereka terhadap jenayah walau pun kadarnya telah turun, menunjukkan Timbalan Perdana Menteri itu gagal memahami bahawa rakyat bukan sahaja perlu berada dalam keadaan selamat, tetapi mereka harus sentiasa berasa selamat.

Beliau merujuk kepada kenyataan Muhyiddin bahawa Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) oleh kerajaan berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 10 peratus.

Guan Eng juga juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kriteria terpenting untuk memulihkan imej polis ialah dengan memastikan badan itu tidak dijadikan mainan ahli politik.

“Walau pun kadar jenayah menurun, statistik itu tetap tidak dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa mereka masih tidak selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Keyakinan masyarakat bergantung kepada kecekapan kerajaan dan polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan, tambah beliau.

Menurutnya, jika Muhyiddin bersungguh mahu memulihkan imej polis dan meyakinkan rakyat, beliau harus menubuhkan IPCMC segera.

Jelasnya lagi, beliau kesal apabila melihat polis memberkas penunjuk perasaan yang dilakukan secara aman jika dilihat sebagai anti-Barisan Nasional tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap penunjuk perasaan yang pro-BN, “atau melihat remaja berusia 15 tahun mati ditembak oleh pihak polis”.

Guan Eng berkata, walau pun Pulau Pinang mencatat penurunan tertinggi dalam indeks kadar jenayah sebanyak 27 peratus tahun lalu, rakyat di negeri itu masih lagi berasa tidak selamat.

“Kerajaan negeri sangat komited memastikan Pulau Pinang lebih selamat dengan pemasangan CCTV dan mengadakan sukarelawan rondaan oleh komuniti setempat untuk membantu pihak polis,” katanya. – Roketkini.com