Berita

Bertaubatlah Mahathir, nasihat Karpal Singh

KUALA LUMPUR, 8 JUN – Sebagai seorang pemimpin negara yang telah melakukan banyak kesalahan, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya bertaubat atas segala salah laku silamnya.

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata sebagai bekas Perdana Menteri yang paling lama memerintah Malaysia, beliau tidak patut campur tangan dalam soal Pakatan Rakyat dan perlu berusaha menjadi seorang negarawan.

“Dia banyak buat kesalahan (semasa menjadi perdana menteri) dan sepatutnya menggunakn sisa-sisa kehidupannya untuk bertaubat kerana banyak bersalah kepada negara dan rakyat…sebagai perdana menteri, dia sangat degil dan tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu,” katanya sebagaimana yang dilaporkan oleh malaysiakini.com.

Mahahir dalam blognya telah menulis:

“Tokoh yang memang besar di sebalik muktamar kali ini adalah Karpal. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam yang akan menguatkuasa hukum hudud sudah pun tercapai. Karpal tidak perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya.

“Belum pun dia mati, PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama. Sekarang PAS akan berjuang untuk negara kebajikan.”

Menjawab kutukan Mahathir terhadap beliau, Karpal mengingatkan bekas perdana menteri itu supaya tidak lupa bahawa sewaktu persidangan perwakilan nasional Gerakan pada September 2001, Mahathir telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Kenyataan di blognya itu tak perlu kerana dia sudah berkata demikian, kali pertama pada 2001, kecuali dia sudah lupa,” kata Karpal yang turut memuji langkah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu membawa Malaysia ke sebuah negara berkebajikan jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Menurutnya, langkah itu memang disokong oleh rakyat Malaysia, termasuk yang Islam dan bukan Islam, bagi manfaat semua orang.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa negara berkebajikan yang mahu dilaksanakan oleh PAS telah lama diamalkan oleh kerajaan UMNO-BN.

Kenyataan mereka bagaimana pun disifatkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai amat dangkal kerana “negara berkebajikan UMNO” tidak mengutamakan rakyat jelata.

“Yang ada sekarang ialah yang kaya bertambah kaya, rasuah berleluasa, penindasan rakyat berlaku. Ini bukan negara kebajikan, ini negara diktator,” katanya dalam wawancara dengan TVSelangor.

Mohamad menjelaskan negara berkebajikan bererti kerajaan bersih dari rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa manakala kekayaan negara diagihkan kepada rakyat. – Roketkini.com