Budaya

(Kisah Cinta) Untuk Malaya Merdeka – oleh Tongkat Warrant

Kisah ini belum boleh dikatakan lama. Berlakunya beberapa minggu  sudah terbentuk jawatankuasa muhibbah antara kaum yang terdiri  daripada wakil-wakil tiap-tiap kaum. Kira-kira tahun 1949, begitulah.

Jawatankuasa muhibbah itu ialah untuk menjadikan satu rupa  bangsa. Di antara penduduk-penduduk di Malaya ini yang bertujuan  membawa pemuda-pemudi ke dalam satu rujukan hidup dengan perasaan  kebangsaan Malayan.

Pekerja-pekerja sepejabat dengan saya juga terdiri daripada kaum-kaum jawatankuasa muhibbah itu, iaitu Melayu, Cina dan India.  Mary Mon, Gadis Cina dan Marapathi, gadis India adalah wanita- wanita pejabat saya itu.

Suasana pejabat saya sederhana saja setiap hari rasanya perkauman  tidak langsung terdapat di antara kami semua. Gembira, meriah dan  ramah-tamah adalah suasana yang sentiasa merangkum dalam  pergaulan kami.

Tidak malu saya katakan terus terang, saya ada menaruh hati pada  Mary Mon, gadis Cina itu. Tidak pula kurang sopan kalau saya  sebutkan bahawa Marapathi, gadis India yang kulitnya lebih hitam  daripada saya itu ada menaruh perasaan pula kepada saya.  Begitulah hal kami beberapa lama.

Suatu kali – pada hari minggu – kami beramai-ramai pergi  berkelah. Sungguh seronok hari itu. Makanan-makanan kami bawa  roti dan sardin.

Berkejar-kejar di pantai yang berpasir putih. Mary Mon,  Marapathi, Zahrah, Halimah, Ainon dan beberapa wanita lagi  mencari-cari siput.

Sambil itu mereka bergurau senda. Segala kelakuan gadis-gadis  antara kaum itu semuanya menarik hati belaka. Begitu juga hal  kami lelakinya. Wong, Lim, Narasamy, Kamal, saya dan lain-lain  berkejar-kejar macam anak-anak kecil bergurau senda, tertawa  terbahak-bahak. Semuanya sederhana tetapi gembira dan ramah  mesra.

Ya! Bukankah telah saya katakan tadi di jiwa kami, semua tidak  ada sedikit pun perasaan perkauman. Kami mandi beramai-ramai.  Suatu peristiwa yang memanjangkan kisah ini terjadi; Marapathi  lemas.

Malangnya banyak di antara kawan lelaki saya itu tidak tahu  berenang, kecuali saya dan Kamal. Kerana saya yang lebih hampir  kepada Marapathi sewaktu dia lemas, kewajipan saya lah untuk  menolong dia.

Marapathi tertolong. Tetapi hampir-hampir saya juga ikut  tenggelam sewaktu mendatangi gadis India berdalih ‘samar-samar  itu memeluk saya kuat-kuat, nafasnya tercungap-cungap tidak  teratur, telah banyak menelan air masin.

***

Pada mulanya saya tidak percaya dengan kata Kamal pada suatu kali  sedang dengannya duduk di kedai kopi setelah seminggu daripada  kejadian lemas Marapathi.

“Aku nampak benar Mary Mon… kau tatkala menggendong Marapathi  setelah…. selamatkan dari lemasnya.

“Buah dada Marapathi menikam dada kau yang tidak berlapik apa-apa  itu agaknya menjadikan Mary Mon cemburu,” kata Kamal tersenyum  dan menampar bahu aku.

Memang benar hal itu. Saya teringat bagaimana saya memeluk dan  menggendong Marapathi dengan rambut terhurai membawa ke tepi  pantai dan senam-senamkan dia mengeluarkan air masin yang banyak  ditelannya.

Kalau benar Mary Mon cemburu, bererti dia kasih kepada saya.

Bukankah cemburu itu tanda kasih?

***

Fikiran-fikiran untuk menghapuskan rasa perkauman di antara  penduduk di Malaya itu semakin banyak diserukan dengan mendapat  bantuan dan sokongan penuh daripada pihak pemerintah.

Perpaduan di antara penduduk-penduduk Malaya – bagi pendapat- pendapat banyak orang – ialah untuk mempercepatkan Malaya  berkerajaan sendiri dan pendapat lain ialah untuk menghapuskan  suasana darurat di Malaya. mana yang benar nanti tidaklah dapat  diramal sekarang dengan tepat atau mungkin kedua-duanya benar.

Kegiatan untuk menjadikan penduduk-penduduk Malaya satu rupa  bangsa semakin menjalar dengan terbitnya penyata-penyata  jawatankuasa Band (yang menyiasat hal ehwal pelajaran Melayu) dan  Fen Woo (yang menyiasat hal ehwal pelajaran Cina) yang  mencadangkan dasar pelajaran yang diarahkan untuk membentuk satu  rupa bangsa.

Kenangan dan perasaan saya pada Mary Mon juga semakin kuat  menjalar dan saya tahu benar mary Mon, gadis Cina yang mempunyai  perawakan ‘Melayu’ itu tidak menaruh perasaan perkauman.

Kalau jadi persatuan saya dengan Mary Mon, apakah titisan darah  kami berdua yang menjadi satu itu dapat melahirkan seorang anak  yang betul-betul berjiwa dan berperasaan kebangsaan ‘Malayan’?

Mary Mon menyambut cinta saya. Kami saling mencinta.

***

Bertambah-tambah rapat lagi kemesraan dalam pergaulan saya kerana  kami kebanyakannya ambil kursus bahasa Inggeris di sebelah malam.

Cuma sebuah sahaja yang kurang setuju di hati saya iaitu Mary  Mon, Marapathi, halimah, Ainon dan boleh dikatakan semua gadis  yang ambil kursus itu memakai pakaian yang seperti mahu pergi  temasya atau menonton wayang (merah-merah bibir dan pipi, pakai  minyak wangi Santaliah yang menyebabkan penuntut-penuntut di situ  lebih menghafalkan kecantikan gadis-gadis itu dari pelajarannya.  Minyak Santaliah juga sering mengganggu ketenteraman hidung di  kelas itu).

Kalau sekolah-sekolah di Malaya ini dapat merupakan dasarnya  seperti kelas kursus kita ini, rasa perkauman lebih cepat lagi  dapat dihapuskan. Sikap beza membeza tidak akan ada lagi di  antara penduduk-penduduk ‘Malaya’, kata Mary Mon kepada saya  sewaktu kami berjalan pulang dari kursus malam.

(Kami bercakap-cakap dalam bahasa Inggeris)

“Salah pihak kerajaan juga yang mahu mengadakan sekolah Melayu  untuk orang Melayu, Cina untuk Cina dan India untuk India.”

“Aku sangat setuju dengan penyata Band yang mencadangkan ‘Sekolah  Kebangsaan’ bagi menggantikan sekolah perkauman yang ada sekarang  di mana kanak-kanak dari segala bangsa akan dapat bersama-sama  belajar dalam suasana ramah mesra di dalam satu tempat.”

“Adakah kau suka kalau penduduk-penduduk di Malaya ini dijadikan  satu rupa bangsa dengan kebangsaan ‘Malayan’, Mon?”

“Tentu sekali. Kan aku diperanakkan di malaya dan aku adalah  warganegara Malaya? Apa lagi…”

“Kau hendak berkahwin dengan pemuda Melayu?” kata saya  mengusiknya. “Bukan, tetapi pemuda ‘Malayan’.” Dia mencium saya  dengan pandangannya. Nyata benar matanya yang tenang membasah itu  memancarkan kilat kasih sayang ke muka saya.

***

Suatu hari saya tulis surat pada Mary Mon. Begini bunyinya:  (dalam bahasa Inggeris)

Sudah lama kita bergaul dan keadaan dirimu lebih banyak saya  ketahui dari gadis-gadis Melayu lain seperti Halimah, Zahrah atau  Ainon.

Walaupun tidak kau katakan terus terang. Pasti aku mengerti kau  mencintai aku, Mon. Memang banyak persesuaian antara kita berdua  dan ini menjadikan perhubungan batin kita bertambah kukuh.

Aku sangat menghargai fikiranmu yang menghendaki segala kaum di  malaya ini bersatu padu menjadi satu rupa bangsa – satu  kebangsaan Malayan – hidup saling beramah mesra menuju satu  kerajaan bersendiri – Malaya merdeka.

Tentang pelajaran kebangsaan seperti yang kita bincangkan tempoh  hari itu menjadi perhatian besar bagiku. Kau juga agaknya tentu  begitu.

Dalam mencapai cita-cita Malaya merdeka, persatuan dan perpaduan  penduduk-penduduk Malaya yang mempunyai bermacam-macam bangsa,  agama dan kebudayaan menjadi satu rupa bangsa – Malayan – yang  bekerjasama dan berbantu-bantu menjadi syarat atau tujuan utama.

Mary Mon,

Kalau semua sekolah-sekolah perkauman yang ada di Malaya sekarang  dihapuskan dan gantinya adakan ‘Sekolah Kebangsaan,’ di mana  kanak-kanak dari semua bangsa akan dapat bersama-sama belajar  dengan tidak ada rasa beza membeza – aku Cina, aku Melayu atau  India – maka usaha menyatupadukan penduduk-penduduk Malaya kepada  satu rupa bangsa akan tercapai dalam tempoh singkat.

Kita sekarang – dalam cita-cita menuju Malaya merdeka – haruslah  membuang semangat perkauman yang berlebih-lebihan. Kerana ini  adalah menjadi satu batu penarung terhadap cita-cita Malaya  merdeka.

Bagi diri saya tidak akan ada apa-apa yang dapat diberikan untuk  perjuangan malaya menuju kemerdekaan. Tetapi jika rasa sanggup  membuang semangat perkauman yang berlebih-lebihan bagi diri tiap -tiap orang dan tiap-tiap kaum itu dikatakan satu derma bakti  kepada perjuangan itu, maka saya dapat kosongkan dada membuangkan  perasaan itu untuk memenuhi isi kemerdekaan kita.

Sesungguhnya saya tidak mengetahui dengan betul apakah kita  (orang-orang) yang memperjuangkan kemerdekaan itu akan sanggup  pula – kelak – mempertahankan kedaulatan kemerdekaan itu?

Sekarang kau telah mengaku menjadi warganegara Malaya. Malah kau  telah sanggup berkahwin dengan pemuda ‘Malayan’ – kalau pemuda  itu, saya yang kau pilih, maka saya mengatakan “Kau akan menjadi  wanita agung.”

Soal agama dan kebudayaan akan kita bicarakan nanti, tentu tidak  ada pertentangan, asal kau dan aku mempunyai rasa bertolak ansur.

***

Kami pada akhirnya telah membicarakan soal yang selalu menjadi  benteng yang kukuh mencegah perhubungan antara saya seorang  Melayu dengan seorang Cina.

Angin petang yang lembut itu kadang-kadang melayangkan anak-anak  rambut Mary Mon menyapu dahi dan hidung saya bila sewaktu-waktu  kepala kami berdekat-dekat sejarak beberapa inci.

***

Marapathi gadis India yang kulitnya ‘samar-samar’ itu telah tahu  juga pada akhirnya saya dan Mary Mon bercinta-cintaan. Gadis  India itu kadang-kadang keadaannya lebih tua dari umurnya bila  sewaktu-waktu dia menunjukkan sikap benci dan marah kepada  pergaulan saya dengan gadis Cina itu.

Menurut perkiraan Marapathi – agaknya – saya lebih sesuai dengan  dia kerana kulit kami hampir-hampir ‘sepasang.’ Tetapi saya  berkehendak dalam mencari isteri – selain yang berkenan di hati –  maunya biarlah kulitnya putih supaya anak saya kelak tidak jadi  hitam. Sikap saya ini kalau diketahui oleh Marapathi tentu dia  marah benar, kerana hati saya menyerupai Doktor Daniel Malan,  Perdana Menteri Afrika Selatan yang bermati-mati mengadakan  perbezaan kulit di negerinya.

Tetapi kalau dapat Marapathi masuk memandang di dalam perut saya  dia akan menemui benci dan marah kepada sikap yang serupa itu dan  kalau saya berada di negeri Afrika Selatan, dia akan melihat saya  dapat memasuki penjara kerana menentang perbezaan kulit.  (Khabarnya penjara di Afrika Selatan hampir-hampir penuh dengan  mereka-mereka yang menentang dasar kerajaan Malan itu.)

Pada hakikatnya hubungan saya dengan gadis Cina itu atas dasar  cinta (hubungan ini diperkukuh pula oleh rasa perpaduan antara  kaum yang menjalar di jiwa saya dan dia) tetapi belumlah membawa  erti apa-apa kalau untuk dipertalikan dengan cita-cita satu rupa  bangsa – Malayan – di Malaya ini, apa lagi untuk menuju Malaya  merdeka tetapi oleh kerana peristiwa seorang pemuda Melayu  (seperti saya) bercinta dengan seorang wanita Cina (seperti Mary  Mon) terlalu jarang kejadiannya, apalagi kedua-dua (saya dan dia)  sama-sama dipertalikan oleh rasa ingin menjadi satu rupa bangsa  dengan corak kebangsaannya ‘Malayan’ saya anggap kejadian ini  sebagai satu ‘perintis jalan’ untuk menuju Malaya merdeka.

Saya kira tentu tidak ada orang akan menghantar protes terhadap  saya dalam keadaan serupa ini dan bulan hadapan pertunangan saya  dengan Mary Mon akan dirasmikan dengan suatu upacara yang  sederhana.

1952

*Tongkat Warrant adalah nama pena Sasterawan Negara Usman Awang

Dari Usman Awang: Turunnya Sebuah Bendera – UA Enterprises, 2007