Budaya

Teknologi + Budaya + Pendidikan = Demokrasi – oleh Mazir Ibrahim

9 JUN – Revolusi Perindustrian telah membantu penciptaan pelbagai alat (teknologi) untuk keperluan manusia, termasuk juga penciptaan alat-alat rakaman atau audio visual. Contohnya, penciptaan instrumen gitar elektrik, kesan penciptaan instrumen itu turut melahirkan bentuk dan gaya karya muzik yang baru. Muzik rock n roll antara muzik yang muncul dan berkembang menjadi satu elemen yang sangat signifikan dengan world culture.

Muzik moden, selain filem dan TV, kini sebahagiand dari pop culture atau budaya pop. Dalam genre muzik sahaj, Korea Selatan terkenal dengan K-Pop, begitu juga dengan J-Pop dari Jepun. India terus dengan gaya Bollywood yang kini sudah mampu memasarkan ideanya ke Hollywood, dan Indonesia telah menghasilkan Dangdut. Semua ini, dari gabungan seni tradisi dan perlatan moden, adalah kesan dari penciptaan peralatan rakaman audio visual – teknologi.

Teknologi + Budaya

Tanpa teknologi, amat sukar budaya sesuatu bangsa itu berkembang. Dengan budaya pop, timbul isu “bahasa pelik” yang dilihat dari persepsi konservatif, iaitu kata pendek atau singkatan yang sudah digunakan secara meluas dalam komunikasi seharian. Ia berpunca dari gaya penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbit dan dikembangkan melalui e-mel, laman sosial Facebook dan twitter. Khabarnya, ini sudah pun membudaya dalam masyarakat kita. Maka teknologi dikatakan antara yang menjadi puncanya.

Hakikatnya, teknologi tidak kenal siapa penggunanya. Membandingkan manfaatkan teknologi dengan kecuaian manusia adalah dua perkara yang amat berbeza. Tanpa pengetahuan yang cukup, kemudahan teknologi yang kita miliki tidak akan membawa apa-apa makna.

Kita tidak dapat mengelak dari menggunakan teknologi, dan jangan lupa, kita juga tidak boleh mengelak dari belajar, mengetahui dan memahami bagaimana memanfaatkan teknologi itu. Ini adalah budaya belajar – menuntut ilmu.

Karya seni selepas era pemodenan Malaysia, sering dikritik kerana dikatakan membawa tema yang merapu, mengkhayalkan dan bersifat populis semata-mata. Sasaran utama kritikan ini berakhir dengan agenda menyalahkan budaya dan perubahannya. Orang muda yang majoritinya peminat seni dituduh mengagungkan budaya ‘barat’, menyamakan moral atau akhlak mereka dengan tamadun barat. Mangsanya tetap anak muda. Seolah-olah rasuah, fitnah, salah guna kuasa yang menjadi mainan orang dewasa tidak dianggap berdosa atau bersalah.

Budaya berkembang menerusi teknologi dan ia datang dengan ilmu pengetahuan. Bagaimana mungkin sebuah negara yang ingin membangun mampu menutup pintu kepada teknologi – pengetahuan? Ini risiko yang seharusnya kita semua sudah maklum. Soal nilai, budaya, moral atau harga diri hanya dapat difahami bila kita ada pengetahuan.  Maka, ini tidak dapat tidak akan menyentuh soal dasar dan sistem pendidikan kita.

Teknologi + Budaya + Pendidikan

Format pendidikan kita amatlah tegar atau rigid – terlalu formalistik, dari sekolah hingga ke peringkat universiti – institusi. Selepas itu apa dia? Bukankah teknologi digunakan seharian, tidak kira kita masih bersekolah, sudah habis bersekolah atau tidak pernah bersekolah. Pendek  kata, kita menggunakan teknologi dari hidup hingga mati. Jadi, di mana lagi ruang pendidikan untuk masyarakat yang berada di luar rangka formal ini? Dan jangan lupa, konsep Islam menuntut kita belajar hingga ke liang lahad bukan?

Maksudnya, kita mempersoalkan konsep pendidikan yang ada supaya ia menjadi lebih komprehensif – menyeluruh. Baik secara formal mahu pun tidak. Apakah ruang wacana awam sudah menjadi dasar dan digalakkan kepada masyarakat, khususnya anak muda? Pernahkah kita mendengar kerajaan menggalakkan anak-anak muda kita berkumpul dan berdiskusi di ruang awam? Tiada.

Senario yang kita tidak boleh abaikan ialah, pekerja kilang atau buruh di lapangan industri disertai oleh golongan muda, dan ia paling ramai jumlahnya.

Situasinya ialah, setelah masuk bekerja dalam sektor ini, mereka akan terus hanyut dengan urusan kerja, rutin tugas dan pelbagai tuntutan lain, ini lama-kelamaan akan menumpulkan fikrah mereka. Golongan ini tidak berpeluang untuk menambah pengetahuan jika tidak dengan mendekatkan diri dalam aktiviti wacana awam yang terbuka. Apatah lagi, wacana awam belum menjadi budaya, tiada galakan, tiada panduan dan tiada ruang kebebasan dan desakan ke arah itu.

Proses pendidikan manusia adalah lebih cepat atau praktis apabila ia dijalankan secara tidak formal, yakni di luar kerangka formal seperti di sekolah. Ini fakta. Beza belajar di sekolah pada hemat kita zaman ini, hanya untuk lulus periksa dan konsep pembelajaran di sekolah adalah satu hala yakni mendengar dan mengikut arahan guru. Berbeza dengan ruang diskusi awam yang secara santai (tidak formal). Di lapangan ini, sesiapa jua boleh memberi pandangan, menguji idea dan bertanya, ia terbuka.

Konsep menggalakkan anak muda berkumpul, beraktiviti atau berdiskusi di ruang awam adalah budaya yang sesuai dilaksanakan di zaman ini – zaman maklumat di hujung jari. Budaya ini akan menjadikan masyarakat kita ‘tahu’ bagaimana mahu memanfaatkan pengetahuan dan maklumat apatah lagi teknologi.

Teknologi + Budaya + Pendidikan = Demokrasi

Inilah budaya demokrasi. Masyarakat tak perlu lagi bergantung dalam semua perkara, di setiap masa, kepada kerajaan. Bukankah itu baik untuk kerajaan?

Manusia yang ‘tahu’, pasti boleh membezakan yang mana perkara bermoral dan yang mana tidak. Dengan kata lain teknologi tidak tahu erti moral, kita menggunakan teknologi sekadar untuk keperluan diri setiap hari. Teknologi harus membantu untuk kita jadi lebih peka dan tahu. Teknologi itu bukan sekadar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kamar gelap untuk lakonan lucah bagi mengaibkan orang lain. Itu budaya demokrasi cacat. – Roketkini.com