Berita

Demi politik, UMNO permainkan isu masjid

GEORGETOWN, 10 JUN – Pemilihan jawatankuasa 200 khariah masjid di Pulau Pinang bertujuan memilih pentadbir masjid yang berwibawa tanpa mengambil kira fahaman politik masing-masing.

Tidak ada mana-mana parti politik terlibat, apatah lagi yang kononnya dikatakan membabitkan DAP yang sama sekali tidak ada kena-mengena dengan hal-ehwal Islam di negeri itu.

Menurut  Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggun Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim, pemilihan itu juga bertujuan untuk mengembalikan hak anak-anak khariah untuk mencadangkan jawatankuasa khariah masing-masing kepada Majlis Agama Negeri Pulau Pinang.

“Mereka yang terpilih perlu memikul  tanggungjawab berat, iaitu mengimarahkan masjid demi kepentingan masyarakat Islam khususnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa apa yang lebih utama ialah mereka melaksanakan tanggungjawab kepada Allah S.W.T  bagi meningkatkan syiar Islam di negeri itu.

“Justeru, saya juga menolak dakwaan ‘nakal’ pihak-pihak tertentu kononnya tata cara pelantikan ini bersifat kepentingan politik dan akan memecahbelahkan masyarakat Islam.

“Sekiranya kami meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan agama, maka tentunya MAINPP akan meneruskan amalan tradisi kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, iaitu melantik jawatankuasa masjid tanpa melalui tata cara pemilihan oleh anak-anak khariah,” jelas beliau.

Dalam usaha memburukkan DAP serta membangkitkan kemarahan orang Islam, pemimpin UMNO dan penyokong mereka telah mendakwa kononnya DAP terlibat dalam usaha melaksanakan tata cara pemilihan itu.

Ada pihak berpendapat UMNO takut kehilangan pengaruh dalam jawatankuasa masjid jika pemilihan diadakan kerana ahli-ahli khariah dikatakan akan cenderung untuk memilih calon-calon berwibawa bagi mentadbir masjid mereka, dan tidak semestinya dari kalangan UMNO yang sebelum ini mendapat tempat melalui perlantikan.

Menurut sumber-sumber, UMNO yang tidak berani menyerang MAINPP kerana ia adalah badan yang menjaga dan memelihara kepentingan umat Islam negeri, cuba memalitkan DAP dengan usaha MAINPP melaksanakan tata cara pemilihan khariah masjid itu.

Abdul Malik menjelaskan, MAINPP buat kali pertama, iaitu selepas perlantikan jawatankuasa MAINPP yang dilantik pada 1 Januari 2010, akan mengadakan pemilihan jawatankuasa khariah masjid seluruh Pulau Pinang menggunakan kaedah dan tata cara yang lebih tulus, telus dan terbuka.

Ia akan dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa  Pengurusan Masjid dan Hal Ehwal Kariah MAINPP, Ustaz Salleh Man yang juga Timbalan Yang Dipertua MAINPP.

Kaedah perlantikan yang diperkenalkan ini, hasil mesyuarat dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEIAPP), MAINPP dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam.

“Malah sejak 2009, selaku Exco Hal Ehwal Agama, saya sendiri telah mengadakan pelbagai perbincangan dan percambahan fikiran dengan pelbagai pihak bagi merumuskan  kaedah pemilihan jawatankuasa kariah yang lebih telus, berbanding dengan tata cara pemilihan  yang sedia ada,” jelas Abdul Malik.

Beliau berkata, hasil muzakarah jawatankuasa berkenaan pada 6 Mac 2011 telah mencadangkan kepada MAINPP tentang tata cara pemilihan tersebut pada April lalu.

Pada 20 Mei 2011 mesyuarat khas MAINPP telah memutuskan menerima tata cara  pemilihan yang disyorkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Hal Ehwal Kariah MAINPP.

Tata cara pemilihan ini juga merupakan penambahbaikan peraturan yang sedia ada selaras dengan Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan kaedah 4 (1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang ) pindaan 2003.

Sebelum ini, pakar al-Quran dan Hadis Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata bahawa sewaktu pemerintahan BN di Pulau Pinang dahulu,  UMNO mengguna pakai amalan politik kepartian dengan memilih ahli-ahli khariah masjid dari kalangan mereka sendiri tanpa mengikut prinsip syarak.

Beliau berkata kebanyakan ahli-ahli jawatankuasa itu bukan dari ahli masjid sendiri tetapi berdasarkan kegiatan mereka dalam parti, iaitu mereka yang aktif dalam UMNO mendapat kedudukan dalam jawatankuas masjid.

Dr Mohd Asri, anak kelahiran Pulau Pinang yang juga bekas Mufti Perlis, menyatakan masyarakat Islam tidak perlu bimbang dengan tata cara pemilihan kerana calon-calon yang terbaik akan dipilih oleh ahli-ahli khariah sendiri tanpa mengira pegangan politik mereka.

Sebelum ini juga, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari telah menjelaskan bahawa terpulang kepada MAINPP untuk menentukan kaedah pemilihan khariah masjid di Pulau Pinang.

Beliau menjelaskan DAP tidak terlibat sama sekali dengan sebarang usaha untuk melaksanakan tata cara pemilihan itu.

“Saya yakin umat Islam di negara ini lebih bijak, jujur dan matang untuk membandingkan apa yang benar dan apa yang palsu,” ujarnya. – Roketkini.com