Berita

Boleh percaya dengan jawatankuasa kabinet BN mengenai IPP?

KUALA LUMPUR, 13 JUN – Tidak ada sesiapa pun yang yakin dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Barisan Nasional yang ditubuhkan untuk menilai subsidi gas dan perjanjian pembelian tenaga yang ditandatangani di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat-syarikat penjana tenaga bebas (IPP).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kemungkinan besar keputusan jawatankuasa BN itu tidak akan memihak kepada rakyat kerana sudah terbukti tidak ada tindakan diambil ke atas skandal kehilangan saham Bumiputera sebanyak RM52 bilion sebelum ini.

“Hanya Suruhanjaya Diraja atau jawatankuasa dwipartisan yang terdiri daripada wakil BN dan Pakatan Rakyat yang terpilih sahaja akan dapat mengembalikan keyakinan umum bahawa rakyat Malaysia tidak akan terjejas dengan rundingan semula IPP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan rakyat kerugian kerana era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad telah mewajibkan perjanjian subsidi gas yang berat sebelah dan tidak adil yang memberi kelebihan kepada IPP.

Guan Eng mengingatkan kerajaan BN bahawa jawatankuasa khas BN yang terbaru itu tidak akan mampu berbuat apa-apa,sebagaimana yang berlaku kepada saham Bumiputera itu dahulu.

“Kerajaan telah memperuntukan RM54 bilion saham Bumiputera tetapi hanya RM2 bilion sahaja yang tinggal dan masih dipegang oleh Bumiputera manakala RM52 bilion telah diagihkan kepada beberapa pemimpin UMNO dan BN untuk kepentingan diri sendiri. Sekiranya RM52 bilion saham Bumiputera masih dipertahankan, ekuiti syarikat bumiputera kini dengan mudah akan melebihi 40 peratus,” tambah beliau.

“Kehilangan” RM52 bilion itu telah diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu dan Guan Eng serta Pakatan Rakyat telah meminta kerajaan menyiasat skandal itu tetapi hingga hari ini BN tidak berbuat apa-apa.

Menurut Guan Eng, mereka yang terlibat dalam skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera dan perjanjian berat sebelah dengan IPP itu semuanya adalah kroni-kroni BN yang menikmati subsidi yang bernilai berbilion-bilion ringgit disebabkan oleh percaturan politik.

“Atas sebab itu jugalah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang begitu yakin menegaskan bahawa kerajaan beliau tidak akan melihat kepentingan IPP…bunyi seperti kosong dan langsung tidak menyakinkan…” tambah beliau.

Guan Eng kecewa kerana BN menolak untuk mengambil tindakan dan memaksa semua yang terlibat dengan skandal saham Bumiputera RM52 bilion untuk mengembalikan semula keuntungan haram yang dinikmati dan menyerahkannya semula kepada Bumiputera miskin dan orang Melayu.

“Inilah sebabnya DAP menyokong cadangan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat perjanjian IPP dan subsidi gas untuk kebaikan 27 juta rakyat Malaysia.

“Mengapa hanya seorang Ahli Parlimen BN iaitu Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang dapat melihat kesan pemotongan subsidi dan kenaikan kadar tarif elektrik terhadap kos sara diri rakyat Malaysia yang biasa?

“Adakah Ahli-Ahli Parlimen BN yang lain terikat dengan IPP dan sanggup melihat pemotongan subsidi kepada golongan miskin akan tetapi langsung tidak menyentuh berpuluh-puluh bilion ringgit subsidi gas yang dinikmati oleh IPP, sehingga membolehkan keuntungan tahunan sehingga berbilion-bilion ringgit?” katanya. – Roketkini.com