Berita

Diskiminasi sekolah bantuan modal

BATU GAJAH, 13 JUN – DAP mahu kerajaan membiayai penuh semua sekolah Tamil di negara ini sebagai memenuhi janji 1Malaysia untuk berlaku adil kepada semua kaum di negara ini.

Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar berkata msyarakat India yang hidup sederhana, dan ramai pula yang miskin, tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan sekolah-sekolah bantuan modal Tamil.

Beliau menjelaskan, buat masa ini kerajaan hanya menyediakan guru-guru untuk sekolah-sekolah bantuan modal sedangkan ibu bapa dan orang awam perlu membina bangunan dan menyelenggarakannya.

“MIC seharusnya berasa malu apabila pergi mengutip derma daripada orang ramai untuk membantu sekolah-sekolah bantuan modal ini.

“Pemimpin-pemimpin MIC sepatutnya mendapatkan peruntukan sepenuhnya daripada kerajaan persekutuan untuk semua sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Mengutip derma daripada orang ramai itu sendiri membuktikan bahawa MIC tidak cekal hati menuntut hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan , malah menujah  dan  menipu masyarakat India kerana kedayusannya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata MIC yang kononnya mengaku berjuang untuk kebajikan kaum India gagal melindungi hak pendidikan kaum tersebut.

Menurutnya, sewaktu Merdeka, ada 888 sekolah Tamil di seluruh negara tetapi hanya tinggal 523 sekolah Tamil pada masa ini.

“Dalam tempoh 54 tahun sejak Merdeka, 365 sekolah Tamil telah hilang dari bumi ini.  Daripada 523 sekolah Tamil yang ada sekarang, 372 adalah merupakan sekolah bantuan modal. Hanya 151 sekolah Tamil ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Dalam  kata lain, hanya 28.8 peratus daripada jumlah sekolah Tamil yang ada mendapat bantuan penuh daripada kerajaan. Baki 71.2 peratus sekolah Tamil di negara ini telah dianaktirikan oleh kerajaan BN. Inilah  pencapaian MIC yang dibangga-banggakan oleh pemimpinnya,” tambah beliau.

Menurutnya, MIC yang hanya menjadi “pak sanggup” UMNO tidak mempunyai sejarah “melawan tauke”, sebaliknya menggadai maruah dan kepentingan kaum India untuk mempertahankan kedudukan politik MIC.

Sivakumar menegaskan hak untuk pendidikan kaum India sudah tertera dalam Perlembagaan Persekutuan:

Perkara  12 (1)(b) :

Dengan tidak menyentuh keluasan makna Perkara 8, tidaklah boleh ada perbezaan terhadap mana-mana jua warganegara semata-mata oleh sebab agama, kaum, keturunan atau tempat lahir tentang memperuntukan bantuan kewangan dari wang sesuatu pihak berkuasa awam untuk tanggungan murid-murid atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana yayasan pendidikan.

Perkara  12(1)(b) Perlembagaan Persekutuan ini menjelaskan bahawa tidak boleh ada diskirminasi dalam memberi  bantuan  kewangan dari segi ‘tanggungan  kepada semua murid-murid’, jelas beliau.

“Bantuan itu seharusnya merentasi kaum dan agama. Ini juga merangkumi bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada sekolah-sekolah Tamil.

“Walau pun Perlembagaan Persekutuan tidak memberi  ruang kepada diskriminasi terhadap mana-mana sekolah, dalam pelaksanaan dasar kerajaan, perkara itu telah diabaikan.

“Jika kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi, maka sekolah-sekolah bantuan modal sudah lama dinaik taraf kepada sekolah-sekolah bantuan penuh. Tetapi, perkara ini tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini. Sekolah-sekolah bantuan modal kekal sebagai sekolah kelas ketiga dan tidak dipedulikan oleh kerajaan BN,” katanya.

Menurutnya, pemimpin–pemimpin MIC bersekongkol dengan UMNO untuk mengaburi mata rakyat, seolah-olah kerajaan BN prihatin terhadap masalah sosioekonomi  kaum India di negara ini. – Roketkini.com