Berita

‘Hacktivist’ antarabangsa bakal godam laman rasmi kerajaan Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 JUN –

Menurut kenyataan yang dipetik dari laman Pastebin.com 12 Jun lalu, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang paling ketat undang-undang terutamanya kebebasan terhadap media.

Laman web yang mereka mahu godam ialah www.malaysia.gov.my.

“Akta penapisan tidak boleh dimaafkan, kerajaan Malaysia telah melanggar kebebasan manusia,” kata kenyataan itu.

Malah mereka turut mendakwa sentiasa mengikuti perkembangan politik di Malaysia dan melihat rasuah yang berleluasa sebagai punca kepada ketidakadilan di Malaysia.

“Budaya rasuah harus dihapuskan dan dipupuskan, kami tidak mahu kebebasan manusia dipermainkan oleh kerajaan Malaysia,” jelas Anonymous.

Kumpulan ini boleh dijejaki di laman Wikipedia dan melihatkan aktiviti terbaru mereka ialah menggodam laman web kerajaan Turki tib.gov.tr dan www.sgk.gov.tr pada 9 Jun lalu, juga atas sebab kekangan media.

Pergerakan tersebut mendakwa kebelakangan ini  kerajaan Malaysia telah menyekat laman perkongsian media bebas seperti The Pirate Bay, laman kontroversi WikiLeaks selain laman-laman perkongsian fail.

Walau bagaimana pun, sehingga 3 petang hari ini kerajaan Malaysia belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung usaha kumpulan tersebut.

Tambah kenyataan pergerakan tersebut, mereka mahukan rakyat Malaysia sedar dengan aksi yang bakal dilakukan mereka.

“Ini adalah petanda, amaran, dan peluang kepada kerajaan Malaysia untuk mendengar mesej kami.

“Kami akan bertindak pantas tanpa belas kasihan kerana undang-undang dicipta untuk dilanggar,” jelas Anonymous. – Roketkini.com