Rencana

Kebangkitan umat Islam Arab kerana gila kuasa?

16 JUN – Orang Melayu Islam bakal diperkudakan oleh “pertubuhan anti-Islam” untuk mengadakan Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai depan, kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin.

Wakil rakyat itu yang menang atas tiket PKR dalam pilihan raya umum 2008 dan kemudian dipecat kerana menyerang rakan-rakan Pakatan Rakyat, mendakwa segelintir orang Melayu bersedia diperkudakan oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreevanasan yang dituduhnya sebagai anti-Islam.

Ambiga adalah Pengerusi Bersih 2.0. Bersih adalah singkatan nama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil.

Dalam tulisannya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia edisi mingguan 12 Jun lalu, Zulkifli juga mendedahkan sokongannya kepada regim-regim Arab yang telah dan sedang menindas rakyat sendiri yang kebanyakannya adalah umat Islam.

“Lihat apa yang terjadi di Iraq, Afghanistan, dan sekarang Libya..Lihat apa yang terjadi di Syria. Hanya kerana keghairahan mahu berkuasa, mereka sanggup merosakkan negara, menyebabkan kerajaan dan Angkatan Tentera Syria sibuk mempertahankan negara,” beliau menulis.

Bagi beliau, kebangkitan umat Islam di negara-negara Arab adalah: “Kerana nafsu segelintir yang mahu berkuasa, mereka (umat Islam) sanggup bersekongkol dengan kafir untuk menjahanamkan negara sendiri. Akhirnya menderita, yang sengsara, yang merempat ialah umat Islam bangsa sendiri”.

Kenyataan seperti itu menggambarkan pendirian segelintir ahli politik Malaysia yang mahu rakyat tunduk kepada pemerintah yang tidak demokratik, zalim dan kejam atas nama Islam. – Roketkini.com