Berita

Kerajaan BN ikut nasihat DAP

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Setelah didesak oleh DAP, kerajaan Barisan Nasional berjanji akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan dua wanita Singapura yang dibogelkan dan diarah mencangkung serta melakukan ketuk ketampi sewaktu ditahan oleh Jabatan Imigresen minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata satu siasatan akan diadakan melibatkan pihak polis, pihak penjara dan pihak ketiga selain Jabatan Imigresen untuk mencari punca berlakunya peristiwa itu.

Beliau turut mengakui bahawa ketuk ketampi bogel bukan satu amalan lazim atau standard operating procedure (SOP) bagi pegawai imigresen untuk memaksa sesiapa yang disyaki sebagai pendatang tanpa izin.

Dua wanita berkenaan telah memberitahu media Singapura bahawa mereka dimalukan sedemikian rupa kerana kesilapan tidak cop pasport sewaktu memasuki Johor Bahru.

Akhbar Straits Times Singapura semalam telah dipetik sebagai menyatakan bahawa berkata kementerian luar negara itu mahu Jabatan Imigresen Malaysia menyiasat dan menyediakan maklumat lengkap berkenaan aduan dua wanita itu

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok berkata tindakan Jabatan Imigresen amat memalukan dan menakutkan pelancong-pelancong dari luar negara.

“Hishammuddin mesti menjelaskan apa sebenarnya SOP Jabatan Imigresen dalam menangani orang yang disyaki pendatang tanpa izin dan menerangkan mengapa dua wanita berkenaan dipaksa ketuk ketampi bogel walau pun mereka telah datang menyerah diri berikutan kesilapan masuk ke Malaysia tanpa cop pasport.

“Malah, jabatan itu juga telah sedar kesilapan yang dilakukan dan telah membebaskan kedua-dua wanita itu tanpa sebarang tuduhan. Kejadian ini membuka semula persoalan pada tahun 2005 di mana di mana polis telah memaksa seorang suspek wanita ketuk ketampi bogel yang belum terjawab sehingga sekarang,” kata Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Naib Pengerusi DAP M. Kula Segaran pula telah mendesak kerajaan supaya menyelesaikan isu itu dengan baik kerana perbuatan Jabatan Imigresen telah memalukan serta menghina martabat wanita.

“Anda tidak boleh buat begini. Mengapa wanita-wanita itu diperlukan dengan begitu memalukan?” tambahnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia tidak membenarkan Presiden Sudan Omar al-Bashir menghadiri Dialog Langkawi di Putrajaya yang bermula Ahad ini.

Beliau bagaimana pun menjelaskan kerajaan tidak menghalang kehadiran Presiden Zimbabwe Robert Mugabe menghadiri forum itu. Ini adalah kerana Mugabe tidak dianggap melakukan apa-apa kesalahan sedangkan Omar sedang menghadapi tuduhan jenayah kemanusiaan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), tambahnya.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat telah mendesak kerajaan supaya tidak membenarkan kedua-dua pemimpin dari Afrika itu atas tindakan mereka melanggar hak asasi dengan menindas rakyat sendiri di negara masing-masing.

Beliau juga telah mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat pada Selasa lalu untuk membantah kehadiran kedua-dua pemimpin kuku besi itu. – Roketkini.com