Budaya

Bagaimana mereka membunuh joget lambak – oleh Mazir Ibrahim

18 JUN – Suatu ketika dahulu, joget lambak amat popular sebagai tarian di majlis-majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu. Langkah tari amat ringkas, bukan seperti seperti zapin,asyik, ngajat, tango, salsa atau pun foxtrot.

Joget lambak juga unik kerana ia tidak terikat dengan etika pakaian tertentu, langkah tari, pasangan menari dan irama muzik. Selama mana si penari atau masyarakat menerima gaya tarian dan pemakaian yang dikira sopan (tidak menjengkelkan tetamu), maka seseorang itu boleh menari dan ia amat dialu-alukan. Inilah hakikat budaya yang dicipta dari amalan tradisi rakyat marhaen sejak zaman berzaman.

Dalam joget lambak, tidak ada langkah tari yang terlalu ketat atau kejur, sebaliknya ia bebas mengikut kehendak si penari. Muzik untuk joget lambak ini juga tidak khusus seperti poco-poco yang hanya menggunakan muzik dangdut. Joget lambak menggunakan pelbagai jenis muzik tradisi seperti joget, dondang sayang dan lagu-lagu rakyat.

Konsep joget lambak ini sama seperti konsep pasar lambak (pasar malam). Malah ahli akademik menerimanya sebagai ‘tarian sosial’ masyarakat Melayu seperti mana tarian folk Celtic di utara Britain. Dari yang berusia kanak-kanak hinggalah ke usia nenek dan moyang, ia senang sekali ditarikan bersama.

Masih aku ingat waktu kecil, ayah dan kadang kala atuk selalu saja membawa aku ke majlis kenduri kahwin di sekitar Johor. Dan pengalaman dengan joget lambak ini, sedikit sebanyak telah mengajar aku erti bersosial cara orang Melayu dengan tetamu yang jarang kita temui atau yang tidak pernah kita kenali.

Oleh kerana tariannya yang bersahaja, jika dalam bahasa anak muda sekarang tidak ‘poyo’, maka sifat manusia Melayu yang kuat pemalu ini, dapat dikikis perlahan-lahan. Begitulah jiwa Melayu bersemuka dalam budayanya.

Dengan menari, menyanyi bersama warga dari pelbagai peringkat umur, memberi kesan psikologi ke dalam jiwa kita, iaitu keyakinan. Buktinya, jika anak kecil kita ajar bercakap, menyanyi atau berlakon di depan keluarga, ia meransang kebolehan, kepekaan dan keyakinan anak kecil itu untuk berkomunikasi dengan sesiapa jua. Ini asas bagaimana budaya mendidik kita.

Namun, seperti juga elem-elemen budaya, ia telah menempuh satu zaman yang penuh berliku dengan rasa prasangka yang tak berkesudahan. Prasangka ini dicipta oleh segelintir pemimpin politik yang gila kuasa dan buta sejarah bangsa. Yang menyedihkan agama digunakan untuk membinasakan seni budaya bangsa.

Mereka tidak menghancurkan budaya tradisi ini seperti membunuh lalat, sebaliknya ia dibunuh melalui ungkapan-ungkapan bahasa yang membentuk persepsi (anggapan) buruk ke dalam pemikiran masyarakat. Mereka mengaitkan joget lambak dengan budaya arak, pergaulan bebas dan tingkah laku liar. Persepsi ini bukan ditanam oleh orang Cina, India atau Inggeris, sebaliknya ditabur oleh pemimpin Melayu sendiri.

Alasan-alasan dangkal yang memprojekkan tanggapan negatif terhadap beberapa bentuk budaya Melayu – kepada orang Melayu – hanya untuk kepentingan politik kepartian mereka. Pada mulanya golongan yang mengaku pandai agama yang mencemuh joget lambak, kemudian ia berjangkit kepada pimpinan politik.

Secara sedar atau tidak,  pemimpin-pemimpin politik ini seperti tidak mahu bangsa Melayu pandai bergaul atau berkomunikasi secara terbuka. Malah mereka menggunakan sifat ‘malu’ itu dengan meletakkan satu nilai yang tidak kena pada tempatnya.

Malu bertanya sesat jalan. Bukankah ungkapan ini sudah jelas menunjukkan jika sifat malu ini dibiarkan berlebih-lebihan dalam semua perkara, maka ia akan menjadikan kita warga yang tidak akan tahu dan suka ‘bertanya’, atau lebih parah lagi menjadikan  seseorang itu anti sosial. Sifat suka bertanya inilah yang tidak disukai oleh orang politik khususnya segelintir pemimpin Melayu yang sering berselindung di sebalik nama agama dan “budaya Melayu”.

Dari segi perkiraan politik, sifir mereka cukup jelas. Jika Melayu sudah tidak lagi ‘malu’ mempersoalkan itu dan ini, kelak mereka akan menjadi kritikal dalam pelbagai perkara. Jika mereka kritikal, maka kerja politik UMNO akan terganggu.

Beginilah modus operandi politik yang membunuh budaya seni sendiri. Dengan maksud lain, mereka mahu kita lupa dan tinggalkan budaya semula jadi yang boleh meransang minat dan intelek kita, mereka mahu kita was-was dengan tradisi kita sendiri. Akhirnya, bangsa Melayu akan terus ketinggalan dalam pembangunan intelek dan kebudayaan.

Joget lambak telah dimatikan atas alasan agama dan “budaya murni Melayu”. Tapi dalam majlis keramaian, adakah gantinya itu sesuatu yang “murni” dan jauh lebih baik?

Joget lambak yang suatu waktu dulu pernah menjadi suatu kemestian dalam acara kenduri rakyat yang sangat meriah, kini ia sudah diganti dengan karaoke yang nyanyiannya sering sumbang-mambang dan amat plastik sifatnya.

Mungkin inilah kehendak masyarakat, dan kita tidak pula bantah atau halang sama sekali. Cuma sayang, joget lambak itu joget rakyat, ia sudah lama hilang. Kalau sesekali terjumpa pun, ia hanya sebagai pertunjukan, pameran; seperti bahan muzium yang dipertontonkan untuk pelancong. – Roketkini.com