Rencana

Kepada mereka yang tidak mengundi Pakatan Rakyat di Sarawak…

Komentar Roketkini

20 JUN – Padah bila mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini telah pun terserlah jelas.
Mangsanya adalah rakyat Malaysia di Sarawak yang sentiasa disembunyikan maklumat dan fakta oleh kerajaan negeri BN.

Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak yang pertama selepas PRN pada 16 April lalu bermula hari ini. Namun, belum pun sidang diadakan, kerajaan negeri BN telah pun menolak soalan-soalan dari wakil rakyat Pakatan.

Dua soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa Chong Chieng Jen telah ditolak oleh Speaker DUN Sarawak
Datuk Awang Asfia Awang Nasar; ia menyentuh tentang pembabitan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya dalam perniagaan serta tentang empangan Bakun.

Soalan Chong meminta Taib menyatakan:

• Dalam 15 tahun lalu, senarai tanah yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang pemegang sahamnya terdiri daripada anak-anak serta adik beradik lelaki dan perempuan ketua menteri dan keluasan tanah terbabit;

• Premium yang dikenakan oleh kerajaan negeri untuk pemberian tanah itu kepada syarikat-syarikat berkenaan;

• Adakah tanah ini diberikan kepada syarikat-syarikat berkenaan melalui tender terbuka? Jika tidak, apakah sebab-sebab untuk memberi tanah tersebut kepada syarikat-syarikat terbabit?

• Memandangkan Syarikat SESCO Berhad telah memeterai perjanjian dengan Sarawak Hidro Sdn Bhd untuk membeli kuasa elektrik yang dijana oleh Empangan Bakun pada harga 6.25 sen / kWj, sama ada kerajaan mempunyai sebarang rancangan untuk mengurangkan tarif elektrik domestik, komersil dan perindustrian SESCO untuk pengguna tempatan, ahli perniagaan dan industri?

• Siapa yang akan mendapat faedah daripada kadar murah elektrik yang dijana oleh Empangan Bakun?

Soalan-soalan itu adalah wajar untuk kepentingan rakyat dan tidak melanggar peraturan Perintah Tetap 20 (1) (a), (c) atau (l) DUN Sarawak.

Chong yang juga Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching kesal dengan tindakan speaker DUN yang tidak memberi peluang kepada rakyat di negeri Sarawak mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri.

Selain Chong, Adun Batu Lintang See Chee How dari PKR juga ditolak oleh Speaker DUN Sarawak. Beliau bertanya Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber mengenai:

• Nisbah simpanan hutan dengan jumlah keluasan tanah di Sarawak;
• Sebab dan alasan meluluskan sembilan konsesi balak atau lesen pembalakan untuk beroperasi di kawasan hutam simpan menjelang PRN Sarawak baru-baru ini, termasuk di hutan simpan kawasan tadahan air Batang Ai.

Dalam PRN Sarawak lalu, BN menang majoriti dua pertiga walau pun kehilangan banyak kerusi kepada Pakatan. Daripada keseluruhan kerusi DUN, BN mempunyai 55 kerusi manakala DAP 12, PKR 3 dan bebas 1.

Malah, kerana amalan tidak adil serta politik kotor BN di Sarawak telah menyebabkan rakyat prihatin melancarkan perhimpunan Bersih 2.0 bagi memastikan proses pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan dalam pilihan raya umum akan datang.

Jika dibiarkan BN bermaharajalela, yang tetap menjadi mangsa adalah rakyat. Keadilan, demokrasi dan hak asasi bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah milik mutlak rakyat. – Roketkini.com