Budaya

Warisan Melayu terbiar? – oleh Daing Yahya

20 JUN – Sebuah lagi akhbar arus perdana cuba memalitkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kononnya mengabaikan warisan Melayu.

Berita Harian dalam edisi Ahad telah membawakan berita muka depan bertajuk “Warisan Melayu Pulau Pinang terabai” yang mendedahkan penemuan seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Saidatulakma Mohd menerusi satu kaji selidik dan maklum balas dari sejumlah 238 orang di Pulau Pinang.

Tujuan kajian itu dikatakan bertujuan mengenal pasti beberapa tempat yang dianggap sebagai monumen sejarah orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang untuk dipulihara dan dibangunkan.

Hasil dari maklum balas orang ramai yang diterima oleh Dr. Saidatulakma Mohd, sebagaimana mengikut laporan Berita Harian:

* 87 peratus responden berpendapat usaha pemuliharaan tempat bersejarah itu adalah dibawah tanggungjawab kerajaan negeri;
* 52 peratus pula mencadangkan inisiatif (pembangunan) berkenaan turut disertai oleh sektor swasta;
* 80.1 peratus bersetuju tempat-tempat itu layak diiktiraf sebagai warisan sejarah Pulau Pinang;
* 91.3 peratus bersetuju bahawa khazanah itu harus dipulihara.

Dr. Saidatulakma juga turut menambah “Apa yang kami kesalkan adalah pihak berwajib hanya menumpukan usaha pemuliharaan tempat bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO sedangkan banyak lagi tempat warisan di sekitar Pulau Pinang.”

Sekilas pandang, kenyataan seorang akademik sudah ada bau-bau politik.

Apa yang terabai?

Kerajaan negeri Pulau Pinang memang bertanggungjawab menjaga dan berusaha sedaya upaya untuk membantu dan mengekalkan khazanah bangsa ini. Malah, dari segi politik pun, jika kerajaan Pakatan mengabaikan isu ini, besar kemungkinan ia memberi kesan dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, kita menerima kajian ini dengan penuh hormat kerana ia datang dari seorang pakar akademik. Oleh kerana itu, kita anggap ia adalah kajian yang ilmiah. Namun, wajar untuk kita ketahui secara jelas dan spesifik fakta-fakta yang dikemukakan oleh Dr Saidatulakma menerusi akhbar berkenaan.

Kita juga berterima kasih kepada Dr Saidatulakma kerana sekurang-kurangnya, walau pun kajiannya tidak menyeluruh, secara tidak langsung beliau telah membuktikan kepada rakyat bahawa khazanah Melayu Pulau Pinang memang telah terabai sejak sekian lamanya.

Kerajaan Pulau Pinang pada hari ini pasti akan bertindak untuk membantu dan menggerakkan usaha pemulihan dengan kerjasama pihak-pihak yang menawarkan diri untuk usaha pemuliharaan itu.

Cuma kita ingin membuat cadangan kepada USM bahawa hasil kajian itu wajar juga dikirim kepada kerajaan pusat. Barangkali Tan Sri Koh Tsu Koon boleh menyumbang ‘fakta’ yang lebih untuk meningkatkan mutu kajian tersebut. Itu pun jika beliau benar-benar ikhlas hendak menjaga khazanah bangsa memandangkan beliau sebagai bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tentunya lebih memahami masalah menjaga warisan Melayu di Pulau Pinang. Pemimpin-pemimpin UMNO negeri juga tidak harus bersembunyi kerana merekalah yang mengaku pejuang bangsa, walau pun khazanah tinggalan Melayu di Pulau Pinang telah berdekad diabaikan.

Senario sebenar

Isu yang dibangkitkan oleh Berita Harian, sebuah lagi akhbar UMNO walau pun tidak bertaraf lidah rasmi seperti Utusan Malaysia, ialah untuk menggambarkan kepada rakyat bahawa kerajaan Pulau Pinang telah ‘gagal’ memulihara khazanah orang Melayu dan sejarah Islam di Pulau Pinang.

Laporan akhbar itu menyebut beberapa monumen (khazanah Melayu) seperti Rumah Tunku Kudin di Gelugor, Rumah Syed Sheikh Al Hadi di Jelutong, Rumah Agam Relau di Relau, Surau Kubang Semang di Bukit Mertajam, Batu Sempadan Jajahan Inggeris – Siam di Kepala Batas, Gudang Peluru di Bagan Jermal dan Perkuburan Muhibbah di Pulau Jerejak.

Dalam berita tersebut, ada dinyatakan bahawa terdapat 42 tempat sejarah yang lain tidak mendapat perhatian pihak berwajib (kerajaan negeri), yang lebih menumpukan kepada Tapak Warisan Dunia George Town.

Dengan kata lain, mereka mahu tempat-tempat yang disenaraikan itu juga dibangunkan seiring dengan Tapak Warisan Dunia tersebut. UNESCO telah mengisytiharkan Bandar GeorgeTown sebagai Tapak Warisan Dunia PBB pada tahun 7 Julai 2008 di Quebac City, Kanada.

Untuk memahami pembangunan Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town itu, kita harus tahu fakta sebenar iaitu. Kesemua tempat yang disenaraikan itu tidak terletak di dalam atau lingkungan kawasan tapak warisan George Town. Maka pemuliharaan kesemua tempat-tempat ini tidak ada kaitan langsung dengan projek pemuliharaan Tapak Warisan Dunia tersebut.

Peruntukan bajet khas untuk menjalankan projek tersebut, sumber utamanya adalah dari kerajaan persekutuan. Hal ini telah dijelas dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang oleh Exco Perancang Bandar Dan Desa , Perumahan Dan Kesenian, Wong Hon Wai, berhubung pembentangan Rang Undang Undang Warisan Negeri Pulau Pinang pada 10 Mei 2011.

Ketika mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada Bajet 2009 dengan peruntukan dana berjumlah RM50 juta khusus untuk pembangunan dan pemeliharaan Tapak Warisan Dunia itu, banyak pihak sibuk membahaskan “siapa yang layak menjalankan kerja-kerja itu”.

Antara ungkapan-ungkapan yang sibuk dibicarakan pada masa itu seperti:

• Perkara paling penting di sini adalah pihak yang menjalankan kerja-kerja ini harus mempunyai kepakaran sama ada NGO (pertubuhan bukan kerajaan), swasta atau kerajaan, kata Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara (JWN) Prof Emeritus Datuk Zuraina Majid;
• Tokoh sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim melihat hak mengendalikan kerja pemuliharaan kedua-dua tapak warisan dunia itu wajar diberikan kepada sektor swasta yang berpengalaman, berilmu serta berintegriti;
• Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pesatuan Sejarah Malaysia (PSM) Datuk Omar Mohd Hashim pula tidak bersetuju jika kerja pemuliharaan itu dikendalikan oleh sektor swasta dan berpendapat tanggungjawab itu harus diserahkan kepada NGO.

Dalam menentukan siapa yang layak menjaga warisan, timbul isu kontrak dan kontraktor. Memang ahli akademik dan aktivis seni budaya banyak yang jujur. Mereka sayang kepada warisan pusaka. Namun, di sekeliling mereka, ramai pula yang menanti peluang untuk merebut kontrak. Sedangkan kerajaan pusat amat liat untuk memberi peruntukan tambahan kepada Pulau Pinang yang sedang ditadbir dengan jayanya oleh Pakatan Rakyat pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Lebih menjolok mata lagi, pada masa yang sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta kerajaan pusat menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) melunaskan baki peruntukan bagi menjalankan kerja-kerja pemeliharaan Bandar Melaka. Selain George Town, Bandar Melaka juga telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

‘Permintaan’ Mohd Ali Rustam ini juga membuktikan bahawa kerajaan negeri yang dikuasai oleh BN dengan mudah telah mendapat peruntukkan dana sebanyak RM30 juta sedangkan Pulau Pinang masih sabar menanti peruntukan, termasuk untuk usaha menjaga warisan Melayu negeri.

Pemuliharaan khazanah budaya bangsa sememangnya menjadi keutamaan kerajaan negeri Pakatan dalam konteks mewujudkan pembangunan yang seimbang. Tetapi kita juga tidak dapat menolak fakta bahawa status tanah dan hak tempat-tempat yang disenaraikan itu pun sehingga hari ini, belum selesai-selesai lagi. Dan pada hakikatnya, isu ini tidak pula timbul sewaktu Gerakan dan UMNO memerintah Pulau Pinang.

Mengapa baru sekarang dibangkitkan? – Roketkini.com