Rencana

Melayu Pulau Pinang dimartabatkan – oleh Putera Pulau

24 JUN – Rakyat Pulau Pinang khususnya orang Melayu sememangnya amat bertuah dan terus dibela apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat memperuntukkan RM1.75 juta kepada 102 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu. Tindakan ini sekali gus menyangkal dakwaan kononnya orang Melayu ditindas oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Pulau Pinang tetap disinari mentari yang terbit dari timur ke barat. Begitulah usaha memperkasakan rakyat di negeri ini yang silih berganti oleh kerajaan negeri untuk memartabatkan ketuanan rakyat.

Walau pun UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah berhenti menohmah setiap inisiatif demi kebaikan rakyat, Pulau Mutiara ini tidak pernah goyah atau pun terkehel, malah terus bangun semakin megah kerana tahu apa yang diperjuangkan.

Usahlah kita menidakkan apa saja kebaikan yang dilakukan oleh orang lain demi kepentingan dan ketaksuban individualistik. Mungkin kali ini ada benar dan baiknya usaha yang sebelum ini tidak mampu dilakukan oleh kerajaan terdahulu telah pun menguntungkan rakyat.

Belajar lah untuk membenarkan dengan hati yang ikhlas bahawa usaha seperti ini juga menguntungkan anak cucu rakyat Malaysia.

Hari ini, rakyat Pulau Pinang teramat bertuah apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah sudi mencemar duli ke negeri itu selama dua hari.

Ini telah menjadi tanda aras dan pengiktirafan buat kerajaan negeri kerana  menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong buat kali pertama kali di bawah penggal pertama kerajaan Pakatan Rakyat.

Peluang ini pasti tidak akan disia-siakan oleh barisan pemimpin pilihan rakyat negeri untuk berbincang serta memohon perkenan Seri Paduka dalam mengatur langkah dan strategi untuk terus memartabatkan rakyat negeri ini.

Menurut atur cara rasmi, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 11 pagi dengan disambut oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Sharif.

Seri Paduka dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri sebelum berangkat bersama Tuanku Nur Zahirah untuk merasmikan sekolah agama Maahad Al Mashoor Al-Islami di Balik Pulau.

Pada sebelah malam, Seri Paduka berdua akan diraikan di majlis Santapan Menjujung Kasih Kerajaan Negeri di Hotel Equatorial di Bukit Jambul yang akan dihadiri oleh Abdul Rahman dan isteri serta Ketua Menteri Lim Guan Eng bersama isteri Betty Chew.

Esok (Sabtu) Seri Paduka dijadual merasmikan Al-Khamsa Endurance Club di Taman Perbandaran Pulau Pinang pada jam 9 pagi dan kemudian bersama dengan Raja Permaisuri untuk menaiki Bukit Bendera.

Seri Paduka berdua akan menghadiri majlis santapan tengah hari di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Seri Mutiara sebelum berangkat ke Terengganu pada sebelah petang.

Secara khususnya, orang Melayu Pulau Pinang telah menerima penghormatan yang tidak terhingga apabila buat pertama kalinya Yang di-Pertuan Agong mencemar duli ke negeri yang dianggap penuh kontroversi dengan isu-isu Melayu-nya.

Sekiranya benar segala tohmahan dan berita palsu, mana mungkin Seri Paduka sudi hadir bersama Raja Permaisuri untuk meninjau negeri yang berada di utara semenanjung tanah air ini.

Terima kasih Tuanku! Kami anak Pulau Pinang sangat berbangga terhadap kesudian Tuanku mencemar duli ke negeri bertuah ini. Tuduhan-tuduhan UMNO dan BN tentang Melayu tertindas telah disangkal dan tidak benar sama sekali, bukan sahaja oleh kebenaran dan kejayaan pentadboiran negeri, malah dengan kunjungan terhormat oleh Istana ini.

Selaku Ketua Negara dan Ketua Agama Islam, kunjugan Seri Paduka amat bermakna. Tahniah kerajaan negeri Pakatan Rakyat! – Roketkini.com