Berita

Wadah pemikir Dayak anjuran DAP penting untuk pribumi Sarawak

KUALA LUMPUR, 24 JUN – Kaum-kaum Dayak di Sarawak diseru bekerjasama dengan DAP untuk menjayakan usaha mengangkat martabat suku kaum mereka melalui Yayasan Pemikir Dayak atau Dayak Brain Trust (DBT).

Ahli akademik dan aktivis sosial Dr John Brian Anthony anak Jeremy Guang membuat seruan itu atas dasar keikhlasan DAP menyediakan wadah untuk pakar-pakar Dayak mengemukakan cadangan dan usaha meningkatkan taraf hidup dan martabat kaum Dayak.

“Saya faham ada sesetengah kita kaum Dayak yang ada pengalaman buruk bekerjasama dengan kaum Cina. Tetapi itu adalah individu Cina. Sekarang kita bekerjasama dengan DAP sebagai sebuah pertubuhan politik.

“Hari ini DAP mungkin berwajah Cina tetapi dengan kerusi-kerusi (Dewan Undangan Negeri dan Parlimen) milik Dayak yang boleh dimenangi oleh DAP, maka wajah DAP akan berubah menjadi sebuah parti demokratik pelbagai kaum di Malaysia,” katanya dalam blognya dayakbaru.com.

Cadangan menubuhkan DBT yang diumumkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang baru-baru ini adalah hasil perbincangan dan dialog para pemimpin parti dengan pemimpin-pemimpin tempatan di Sarawak. DBT akan berfungsi sebagai badan penasihat yang dianggotai 10 profesional Dayak bagi menangani isu-isu masyarakat pedalaman Sarawak.

Kit Siang telah menjelaskan pakar-pakar professional itu akan memberi khidmat nasihat kepada DAP dan Pakatan Rakyat di Sarawak tentang cara untuk membantu dan menyemai kesedaran hak di kalangan penduduk pedalaman.

Menurut Dr John Brian, keahlian DBT adalah Dayak dan ini harus dilihat sikap terbuka DAP yang membenarkan parti menyediakan platform untuk kaum Dayak.

“Adakah UMNO akan membenarkan kaum Dayak menggunakan UMNO sebagai platform untuk menyokong pemikiran kita?’ tambah beliau.

Beliau menjelaskan, tidak penting sama ada DAP atau parti lain yang menubuhkan DBT kerana yang utama adalah penyertaan kaum Dayak dalam masyarakat pelbagai kaum yang tidak terikat dengan pendirian sempit untuk satu-satu kaum sahaja.

“Adakah kaum Dayak berhak mengatakan hanya Dayak sahaja boleh menyelesaikan masalah Dayak atau mewakili kepentingan Dayak?”

Dr John Brian berkata kaum Dayak perlu memberi peluang kepada DBT dan DAP dengan cara berfikiran lebih terbuka dan luas tanpa menyempitkannya dalam masyarakat sendiri sahaja.

Untuk menikmati keamanan dan kemajuan, kaum Dayak perlu bekerjasama dengan semua pihak yang ikhlas dan jujur, tambahnya.

“Kita tidak boleh meminta orang lain mempercayai kita jika kita tidak bersedia untuk percaya dengan orang lain. Kita juga tidak boleh meminta orang lain menghormati kita jika tidak berusaha untuk dihormati.

“Malah kita tidak boleh meminta keadilan jika kita tidak bersikap adil kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya. – Roketkini.com