Budaya

Sang Pencerah dan ijtihad sosial – oleh Muhammad Nazreen

 

Aku melihat Islam tanpa Muslim di Perancis tetapi aku melihat Muslim tanpa Islam di Mesir” – As-syaikh Muhammad Abduh (1849 -1905)

Saya tertarik dengan kata-kata Muhammad Abduh yang melihat cahaya Islam itu hadir di barat walaupun Islam itu masih tidak mendapat tempat di dalam hati majority masyarakat barat.Maka ada benar sabda Nabi Muhammad yang mengatakan bahawa Islam itu dating daripada keadaan terasing lalu kembali menjadi terasing.

Faham masyarakat kini umumnya melihat agama itu sebagai satu keteraturan yang ketat, bahkan sesiapa pun tidak seharusnya menyoal keberadaan agama itu sendiri. Lantas, agama itu dijadikan alat untuk mengabsahkan sesuatu perkara yang disenangi golongan yang punya autoriti dan sebarang pemikiran yang dianggap mengancam kestabilan sang penguasam itu dianggap sesuatu perkara yang harus ditolak tepi.

Betapa dangkalnya mereka yang menggunakan kata ‘agama’ untuk menjamin kedudukan kuasa, menolak bentuk pembaharuan yang baik di dalam masyarakat dan penilaian agama itu membatasi ruang-ruang kemanusiaan.

Bagi saya, itu merupakan bentuk faham agama yang seharusnya diubah kerana agama itu merupakan satu kecintaan, keindahan dan ketenangan yang sebaiknya. Adalah salah untuk melihat agama itu sebagai suatu alat yang dicipta hanya untuk memuaskan kelompok elitis agama tetapi pada masa yang sama, nilai-nilai kemanusiaan diabaikan, mereka yang melarat dan derita akibat kemiskinan dibiarkan bergelandangan begitu sahaja.

Islam itu seharusnya dilihat sebagai ‘rahmatan filalamin’ kerana rencam agama itu sendiri bersifat universal. Bahkan, Islam mengajar manusia itu sendiri menghayati nilai-nilai kesamarataan dan kebebasan. Lantas, agama itu seharusnya melewati penganutnya dan berdiri di atas kapasiti yang manusiawi.

Apakah Tuhan yang menciptaagama itu hanya untuk menaungi sebahagian umat manusia?

Bagi saya, ia ternyata tidak. Islam misalnya menyeru kepada kebaikan yang tidak dibataskan kepada sesiapapun, walau anutan agama mereka itu tidak sealiran, di atas norma kemanusiaan itu sendiri yang melahirkan rasa kasih dan cinta kepada masyarakat dan akhirnya kita akui bahawa Islam itu adalah cara hidup Ad-deen yang berdiri dengan rasa cinta dan hikmah bukanlah sebagai bentuk atur cara yang keras terhadap penganutnya.

Saya tertarik untuk menulis berkenaan sebuah filem yang disutradarai oleh Hanung Bramantyo. Filem ini mengisahkan tentang Kiai Ahmad Dahlan, pendiri Muhammadiyah di Indonesia di era pasca perang Dipo negoro.

Berlatar bekangkan era colonial Belanda, masyarakat di Indonesia ketika itu menjadi semakin mundur dan jauh daripada kehidupan agama.Ya, mungkin disebabkan kegiatan politik Belanda itu yang mengenakan system tanaman paksa, mereka tidak punya hak untuk melanjutkan pendidikan secara formal.

Tetapi, pedagogi masyarakat ketika itu dibina melalui sistem-sistem pendidikan pesantren dan langgar dan dinaungi kelompok-kelompok Priyayi yang merupakan golongan elit agamawan.

Filem ‘Sang Pencerah’ memulakan perjalanan kisahnya dengan menilik kelahiran seorang bayi laki-laki bernama Muhammad Darwis di dalam sebuah keluarga Jawa yang memiliki latar belakang lingkungan beragama Islam yang sangat kuat.

Dalam pertumbuhannya, Darwis remaja (IhsanTarore) sering merasa aneh dengan kebiasaan lingkungannya yang sering kali mencampur adukkan kegiatan agama dengan berbagai kegiatan yang berunsurkan mistik dan pemujaan.

Hal inilah yang kemudian menarik perhatian Darwis untuk mempelajari Islam lebih lanjut. Di usianya yang ke-15, Darwis, dengan seizing orang tuanya, pergi ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji, sekaligus mempelajari Islam langsung di tempat kelahiran agama tersebut.

Di sana, beliau terpengaruh dengan gerakan pembaharuan yang dimulakan Jamaluddin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh yang menerima ijtihad yang membangunkan masyarakat.

Lima tahun berselang, Darwis dewasa(LukmanSardi) kembali ke kampong halamannya di Yogyakarta. Sesuai dengan kebiasaan mereka yang baru kembali dari Mekkah saat itu, Darwis merubah namanya menjadi Ahmad Dahlan.

Keadaan lingkungannya sendiri, yang saat itu berada di bawah bayang-bayang penjajahan Belanda, masih sama dengan ketika ia meninggalkan Yogyakarta. Banyak ajaran Islam yang dalam pelaksanaannya semakin melenceng dari apa yang telah disuratkan dalam Al-Qur’an maupun Al-Hadis.

Tak tinggal diam, Ahmad Dahlan mulai secara perlahan menyedarkan masyarakat sekitar mengenai kesalahan yang telah mereka lakukan. Tentu saja, merubah sesuatu hal yang telah menjadi semacam adat di dalam sebuah kelompok bukan lah hal yang mudah untuk dilakukan.

Ahmad Dahlan sendiri sempat mendapatkan kecaman dari seorang kyai penjaga tradisi, Kyai Penghulu Kamaludin ingrat (Slamet Rahardjo), bahkan sering dituding sebagai seorang kyai yang sesat.

Namun atas dukungan penuh istrinya, Siti Walidah (Zaskia Adya Mecca), keluarga, dan beberapa orang murid setianya, Ahmad Dahlan terus berusaha menegakkan akidah,termasuk dengan bekerjasama dengan organisasi moden yang banyak dinilai masyarakat sebagai kelompok kafir di dalam lingkungannya.

Salah satu babak yang cukup memberikan kesan kepada penonton-penonton adalah bila seorang murid bertanya kepada beliau“Apa itu agama”?

Lantas Ahmad  Dahalan mengeluarkan biola lalu memainkan irama muzik yang indah. Lalu dia menjawab bahawa agama itu umpama keindahan muzik alunan biola yang diamainkan sebentar tadi.

Dia meneruskan bicara:

“ Agama itu bukan rangkaian aturan-aturan yang bias dipermudah atau dipersulitkan. Agama itu sebuah proses, seperti udara pagi yang kita hirup secara perlahan-lahan ke tubuh kita. Menyegarkan hati dan pikiran kita. Bayangkan yang kita hirup itu angin putting beliung. Tubuh kita tidak hanya hancur, tapi terhempastak berdaya. Dibawa arus tak tentu arah.”

“Apakah kita rela melihat umat kita berserakan dan lari, menjauh dari agama – hanya kerana kita salah memberikan pengertian?”

Perjalanan filem ini turut menceritakan bagaimana payahnya mengubah fahaman masyarakat sehinggakan dia dituduh kafir kerana menafikan upacara dan ritual keagamaan yang menelan belanja yang besar tetapi pada masa yang sama, kemiskinan masih lagi menghantui sebahagian besar penduduk Yogyakarta.

Akhirnya, dia mengambil jalan untuk bersikap sederhana dan menerima kemodenan untuk membangunkan masyarakat.Walaupun, sering kali dia dihina dan diherdik masyarakat sekelilingnya, usaha dan ketabahan serta sikap kemanusiaan itulah yang dapat memberikan hasil yang terbaik.

Akhirnya, kita mengerti bahawa Islam itu bukanlah alat yang memberikan keabsahan terhadap nilai kekuasaan, sebaliknya menyuntik rasa kecintaan terhadap sesame manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Agama mengajar kita untuk menghayati nilai-nilai kebersamaan, kebebasan dan kesamarataan (yang membezakan Cuma taqwa) di atas nilai-nilai kemanusiaan yang bersifat universal.

Saya percaya Islam tidak pernah menafikan hak agama yang lain untuk melakukan kebaikan bahkan Islam sendiri mengajar manusia untuk member sumbangan ke atas masyarakat di atas nama cinta dan kasih sayang. – Roketkini.com