Berita

Kerajaan tak serius tangani perkauman

KUALA LUMPUR, 27 JUN – Sikap kerajaan yang sengaja melengah-lengahkan tindakan yang sepatutnya dikenakan terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menunjukkan ia tidak serius menangani politik perkauman dan rasis di negara ini, kata Ahli Parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa.
Menurut beliau, usul yang dikemukakannya di Dewan Rakyat hari ini telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan dengan alasan jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan dan tidak perlu dibincangkan lagi.
“Saya tidak berpuas hati. Kebanyakan jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan, contohnya seperti kes Teoh Beng Hock, selepas beberapa bulan proses siasatan, baru lah diumumkan,” katanya kepada Roketkini hari ini.
Pada 21 Jun lalu, Er telah menghantar notis pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan usul mengenai kenyataan Ibrahim Ali yang telah mengeluarkan ancaman perkauman.
Tambah beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, usul yang dikemukakan itu sangat mustahak kerana ia boleh membawa kepada isu perkauman yang lebih meruncing dan merosakkan nama Malaysia.
Usul yang dikemukakan Er berdasarkan kenyataan Ibrahim 19 Jun lalu pada demonstrasi menentang perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kampung Baru di sini di mana Presiden Perkasa itu telah mengeluarkan kata-kata berbentuk ancaman terhadap kaum Cina.
Bagaimanapun, Er berkata, ini bukanlah kali pertama, Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan jijik seperti itu yang mengajak rakyat ke dalam kancah pergaduhan.
“Tetapi, sampai sekarang tiada tindakan diambil oleh pihak polis bagi menghalang dia dari terus mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian,” katanya.
Menurut Er, sejak Malaysia merdeka, tidak pernah pun seorang individu berkelakuan seperti Presiden Perkasa itu terlepas dari undang-undang.
Tambahnya lagi, Islam menolak faham perkauman sempit sebegitu.
Er berkata beliau memahami konsep “assabiyah” yang ditolak oleh Islam kerana ia adalah perbuatan salah menolong kaum dalam melakukan kekejaman dan kezaliman.
“Oleh kerana 9 Julai semakin hampir untuk diadakan perhimpunan aman Bersih 2.0, maka ia perlu dibahas serta-merta dalam usaha menghindari keselamatan negara dan rakyat terancam dan mendapat mudarat oleh kerana sikap begini,” katanya.- Roketkini.com